PETALING JAYA: Program Pemecut Sains Hayat Selangor (SLSAP) 2025 melabuhkan tirainya dengan Demo Day berimpak tinggi, memperkenalkan 10 syarikat terunggul serta membuka laluan kepada potensi pelaburan antara RM50,000 hingga RM250,000 bagi setiap syarikat.
Program tersebut sejajar dengan hasrat Selangor untuk menerajui landskap inovasi sains hayat di Asia Tenggara.
Ketua Pegawai Eksekutif Invest Selangor Berhad, Datuk Hasan Azhari Idris berkata, melalui SLSAP 2025, Invest Selangor memberi tumpuan untuk membantu pengasas membina asas yang kukuh, daya tarikan komersial sebenar dan pelaksanaan yang bersedia pelabur.
“Di luar program ini, syarikat terpilih akan terus menerima potensi pelaburan sehingga RM250,000 setiap satu oleh NEXEA.
“Selain itu, terdapat juga sokongan melalui Program Usahawan dan Sidang Kemuncak Usahawan yang menghubungkan mereka dengan mentor dan pelabur yang telah membangunkan syarikat berpendapatan RM1 bilion setahun untuk membantu mereka berkembang lebih jauh,” katanya dalam kenyataan.
Syarikat yang diiktiraf sebagai 10 terbaik kohort SLSAP 2025, mewakili segmen berimpak tinggi yang pelbagai dalam bidang sains hayat dan inovasi kesihatan adalah PlusVibes, YSBiotik Sdn. Bhd., GreenSHeart Sdn. Bhd. dan Bioloop Sdn. Bhd dan Materials In Works.
Lima lagi syarikat adalah Ocean Rich Resources, Microbiome Sdn. Bhd., Health Digital Technologies Sdn. Bhd. (DoctorOnCall), Pixelence Sdn. Bhd. dan Promed Health Ventures Sdn. Bhd.
Dilancarkan oleh Invest Selangor pada Oktober 2025, program pemecut selama tujuh bulan itu menerima 168 permohonan daripada syarikat peringkat awal dan berfokus pertumbuhan merangkumi bidang bioteknologi, kesihatan digital, agriteknologi, platform penjagaan kesihatan, bahan termaju serta penyelesaian kelestarian.
Melalui proses saringan kompetitif, sebanyak 21 syarikat berpotensi tinggi dipilih untuk mengikuti fasa pemecutan intensif.
Sepanjang program tersebut, para pengasas menerima lebih 280 jam bimbingan berstruktur yang merangkumi penilaian bertaraf pelabur, sokongan pengesahan saintifik, strategi pengkomersialan serta latihan kesiapsiagaan modal.
Peserta turut mendapat manfaat daripada kelas induk terpilih, sesi rangkaian strategik dan pendedahan langsung kepada pemimpin industri serta pihak modal teroka.
Dilaksanakan dengan kerjasama NEXEA, program ini menyediakan akses berstruktur kepada modal dan laluan pengkomersialan menerusi ekosistem modal terokanya. – UTUSAN










