Sijil halal buka laluan T’Sallee ke pasaran runcit utama tempatan

Sijil halal buka laluan T’Sallee ke pasaran runcit utama tempatan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pensijilan halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) membuka peluang lebih luas kepada jenama T’Sallee, produk herba Cina halal, untuk mengembangkan pasaran ke rangkaian runcit utama tempatan.

Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Nor Ainhidayah Abdullah berkata, jenama itu kini berjaya menembusi rangkaian runcit utama seperti Mydin, Lotus’s, AEON, Village Grocer, My Hero dan Urban Fresh selain dijual di stesen minyak Petronas.

“Produk kami juga telah menembusi pasaran antarabangsa termasuk Singapura dan China.

“Pensijilan halal bukan sahaja memberi keyakinan kepada pengguna Muslim, malah menjadi nilai tambah penting untuk menembusi pasaran eksport.

“Bagi saya, sijil halal bukan sekadar syarat kualiti, tetapi juga peluang untuk meningkatkan profesionalisme dan kredibiliti jenama.

“Usahawan makanan dan minuman perlu melihat pensijilan halal sebagai pelaburan jangka panjang dalam membina kepercayaan pengguna,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Menurutnya, beliau mula memohon pensijilan halal pada 2009 dan sepanjang 16 tahun, jenama tersebut telah membuat permohonan lebih daripada 10 kali.

Bagaimanapun, jenama tersebut kini berada dalam proses permohonan semula pensijilan halal susulan perpindahan kilang.

Jenama T’Sallee mengetengahkan konsep ‘Masakan Cina Muslim dan Herba Botanikal’ dengan menawarkan pelbagai produk berasaskan herba.

“Antara produk yang ditawarkan termasuk minuman sarang burung, minuman herba dan pencuci mulut berasaskan herba.

“Produk paling laris kami ialah Lai Chee Kang Sedia Dimakan, iaitu pencuci mulut sup biji teratai yang diinspirasikan daripada resipi tradisional Cina tetapi diproses secara moden.

“Produk ini direka bagi memenuhi gaya hidup masyarakat moden yang sibuk tetapi masih mahu menjaga kesihatan,” ujarnya.

Beliau berkata, usaha mendapatkan pensijilan halal bukan sesuatu yang mudah kerana memerlukan pematuhan ketat terhadap dokumentasi, pemilihan bahan mentah serta proses pengeluaran.

“Saya bermula dari kosong dan belajar sendiri mengenai pengurusan bahan mentah, proses pembungkusan serta prosedur halal dan keselamatan makanan.

“Selepas melalui proses tersebut, akhirnya kami berjaya memperoleh sijil halal dalam tempoh kira-kira sembilan bulan,” katanya.

Nor Ainhidayah turut menasihatkan usahawan makanan dan minuman supaya melihat pensijilan halal bukan sekadar syarat pematuhan, sebaliknya peluang untuk meningkatkan kualiti, profesionalisme dan kredibiliti jenama.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN