Shopee Malaysia perkasa keselamatan digital - Utusan Malaysia

Shopee Malaysia perkasa keselamatan digital

ARMIZAN Mohd Ali (tiga dari kiri) melawat reruai Shopee sempena Hari Pengguna Kebangsaan 2026 di Kota Kinabalu, baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Shopee Malaysia memperkukuh komitmennya dalam mempromosikan keselamatan dalam talian dan pendidikan pengguna bagi memastikan rakyat Malaysia dapat bertransaksi dalam ekonomi digital dengan lebih yakin dan selamat.

Inisiatif tersebut diketengahkan sempena Hari Pengguna Kebangsaan 2026 yang dianjurkan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dan dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, baru-baru ini.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali yang melawat pameran Shopee berkata, kesedaran pengguna merupakan benteng utama dalam menangani risiko penipuan digital yang semakin kompleks.

“KPDN sentiasa menggalakkan kerjasama berterusan antara kerajaan dan platform bagi mempromosikan amalan perdagangan digital yang lebih selamat untuk semua,” katanya dalam kenyataan.

Menerusi acara tersebut, Shopee berkongsi panduan praktikal termasuk cara mengenal pasti pautan mencurigakan, mengelakkan pembayaran di luar platform rasmi, serta amaran agar tidak berkongsi maklumat sensitif seperti OTP atau butiran perbankan kepada pihak ketiga.

Sementara itu, Ketua Hal Ehwal Luar Shopee Malaysia, Nik Emir Din berkata, keselamatan dalam talian merupakan tanggungjawab bersama yang memerlukan kerjasama rapat antara kerajaan, platform dan juga pengguna sendiri.

“Pendidikan pengguna kekal sebagai elemen penting dalam membina keyakinan terhadap ekonomi digital. Kami komited untuk membantu orang ramai mengenal pasti taktik penipuan, melindungi maklumat peribadi dan bertransaksi hanya melalui saluran yang dipercayai,” katanya.

Shopee turut menekankan kepentingan penggunaan pautan afiliasi rasmi dalam ekosistemnya bagi memastikan setiap interaksi pelanggan berasaskan laluan sah yang dilindungi oleh platform tersebut.

Pengguna yang menemui sebarang aktiviti mencurigakan digesa untuk segera melaporkan perkara berkenaan melalui khidmat pelanggan rasmi Shopee bagi tindakan lanjut. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN