SC, CIMB bangunkan instrumen inovatif pasaran modal Islam

SC, CIMB bangunkan instrumen inovatif pasaran modal Islam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Selaras dengan Pelan Induk Pasaran Modal 2026–2030 oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, CIMB Group Holdings Berhad (CIMB) mengumumkan komitmennya untuk membangunkan instrumen inovatif bagi memajukan pasaran modal Islam di Malaysia.

Dalam satu kenyataan, CIMB berkata,  pihaknya akan bekerjasama dengan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) dan Bursa Malaysia Berhad menerusi projek perintis di bawah Makmal Inovasi Pasaran Modal Islam SC (FIKRALab). 

Katanya, inisiatif tersebut bertujuan memperluaskan peluang pelaburan bagi dana patuh syariah, khususnya dalam menyokong pertumbuhan perbankan Islam di rantau ASEAN.

“Sebagai antara francais perbankan Islam terkemuka di ASEAN, CIMB memasuki fasa ini dengan kedudukan yang kukuh. 

“Kumpulan itu terus memperkukuh perbankan Islam sebagai tonggak utama pertumbuhan, selaras dengan tujuan untuk memajukan pelanggan dan masyarakat. 

“Ketika ini, lebih separuh daripada portfolio pembiayaan CIMB di Malaysia adalah patuh Syariah, manakala CIMB Niaga di Indonesia sedang dalam proses memisahkan perniagaan perbankan Islamnya untuk menjadi bank Islam sepenuhnya,” katanya dalam kenyataan.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan CIMB, Novan Amirudin berkata, pelan induk tersebut menetapkan hala tuju yang bercita-cita tinggi bagi pasaran modal negara dan pihaknya berbesar hati dapat terlibat dalam projek perintis berkenaan.

“Penyertaan CIMB mencerminkan komitmen berterusan kami terhadap inovasi dalam pasaran modal dan digital. Francais perbankan Islam kami telah mencapai skala yang signifikan dan kami melihat peluang besar untuk membuka nilai tambahan melalui penawaran struktur baharu patuh syariah kepada pelabur,” katanya.

Kerjasama ini juga sejajar dengan strategi Forward30 CIMB, di mana kewangan Islam dikenal pasti sebagai enjin pertumbuhan utama yang berteraskan skala, inovasi dan kelestarian. 

Seiring dengan penekanan pelan induk terhadap inovasi, daya tahan dan daya saing antarabangsa, langkah proaktif CIMB ini menegaskan peranannya bukan sekadar sebagai peserta pasaran, tetapi juga sebagai penyumbang kepada evolusi seterusnya pasaran modal Malaysia.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN