KUALA LUMPUR: Prospek ringgit kekal positif tahun ini, disokong oleh asas ekonomi Malaysia yang kukuh serta kedudukan dolar Amerika Syarikat (AS) yang menjadi antara faktor utama.
Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour berkata, lebihan akaun semasa negara turut menjadi faktor penting yang menyokong dan akan terus menyokong prestasi ringgit.
“Langkah-langkah reformasi serta komitmen terhadap agenda pembaharuan juga dijangka memberikan sokongan berpanjangan kepada mata wang tempatan itu.
“Selain itu, libat urus bersama pelabur, pengeksport, pengimport dan syarikat korporat turut dipergiat bagi menggalakkan aliran pulangan hasil eksport dan pendapatan pelaburan ke Malaysia, termasuk penukaran kepada ringgit.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar Dialog Tahunan BNM di sini hari ini.
Bagaimanapun, beliau menjelaskan konflik di Asia Barat ketika ini mungkin memberi kesan sementara kepada ringgit, namun pergerakan tersebut lebih dipacu oleh faktor sentimen.
“Yang lebih penting ialah kekuatan asas yang dibina dari semasa ke semasa. Dalam jangka panjang, pelabur akan menilai perkembangan asas ini sepanjang tahun,” katanya.
Abdul Rasheed berkata, aliran modal yang sihat turut kembali memasuki ekonomi, khususnya pasaran kewangan, dengan penyertaan pelabur yang lebih pelbagai.
“Malah, terdapat minat baharu daripada pelabur hasil usaha libat urus ketika kami bertemu pelabur di luar negara.
“Sebahagian daripada mereka telah mula melabur dalam pasaran kewangan Malaysia, sekali gus menyokong ringgit dan dijangka terus memberi sokongan ke hadapan,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Gabenor BNM, Adnan Zaylani Mohamad Zahid berkata, trajektori ringgit dijangka kekal berdaya tahan berasaskan asas ekonomi kukuh yang telah dibina dan diperkukuh dalam tempoh dua hingga tiga tahun kebelakangan ini.
Beliau berkata, ketahanan itu dapat dilihat melalui pasaran pertukaran asing yang kekal aktif dengan jumlah dagangan tinggi, mencerminkan tahap kecairan yang baik serta keupayaan perniagaan menjalankan transaksi tanpa gangguan.
“BNM komited untuk meneruskan libat urus serta inisiatif yang telah dilaksanakan sebelum ini.
“Ini termasuk usaha menggalakkan syarikat membawa pulang pendapatan dan menukar hasil kepada ringgit, selain menggalakkan penggunaan ringgit sebagai mata wang operasi, khususnya bagi syarikat multinasional,” katanya.
Beliau berkata, usaha libat urus sektor kewangan yang lebih baharu turut dilaksanakan hasil perbincangan dengan industri, bertujuan merapatkan jurang pengetahuan antara sektor kewangan dan sektor ekonomi sebenar.
“Melalui pendekatan ini, kami mengumpulkan pelbagai pihak termasuk sektor perkapalan, penerbangan, elektrik dan elektronik bersama sektor perbankan dan insurans bagi mengenal pasti jurang yang wujud supaya dapat diperbaiki,” katanya.
Menurut beliau, langkah itu penting bagi memastikan pengantaraan dan pembiayaan kepada sektor berkaitan dapat dipertingkatkan, sekali gus membolehkan sektor kewangan berfungsi dengan lebih berkesan dalam menyokong industri.
“Libat urus ini telah dimulakan tahun ini dan akan diteruskan sepanjang tahun,” katanya. – UTUSAN










