Ringgit dijangka kekal di bawah RM4 berbanding dolar AS

Ringgit dijangka kekal di bawah RM4 berbanding dolar AS

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Ringgit dijangka terus didagangkan bawah paras RM4, berikutan minat terhadap aset yang didenominasikan dalam dolar Amerika Syarikat (AS) agak rendah ketika ini.

Ketua Penyelidikan Rakuten Trade Sdn. Bhd., Kenny Yee Shen Pin berkata, pelabur tidak begitu berminat dengan set yang didenominasikan dalam dolar AS, sebaliknya mereka beralih kepada aset yang lebih stabil seperti emas dan perak.

Dari sudut politik juga, katanya, Malaysia ketika ini dilihat lebih stabil berbanding beberapa negara jiran, yang boleh membantu mengekalkan keyakinan pelabur asing.

“Memandang ke hadapan, kami menjangkakan ringgit akan berada dalam trend antara julat RM3.80 hingga RM3.90 berbanding dolar AS berikutan ekonomi AS yang semakin merosot yang mungkin akan mencetuskan lebih banyak penjualan aset dalam denominasi AS,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada taklimat media mengenai Prospek Pasaran bagi suku kedua secara dalam talian di sini semalam.

Mengulas mengenai pasaran saham, beliau berkata, pihaknya menyemak turun sasaran FBM FTSE KLCI Bursa Malaysia (FBMKLCI) untuk 2026 kepada 1,800 mata berdasarkan 17 kali nisbah harga kepada pendapatan (PER) daripada 1,810 mata sebelumnya, berikutan ketidakpastian yang berlarutan.

“Dalam jangka pendek, saham minyak dan gas mungkin masih mempunyai potensi kenaikan sekiranya harga tenaga kekal tinggi. 

“Namun dalam jangka panjang, potensi kenaikan mungkin lebih terhad apabila harga minyak kembali stabil,” jelasnya.

Ketika ditanya sama ada negara akan berdepan inflasi berikutan kenaikan harga minyak dan konflik berterusan di Asia Barat, beliau berkata, dinamik inflasi di Malaysia agak berbeza berbanding banyak negara lain.

“Ini terutamanya disebabkan subsidi dan kawalan harga bagi beberapa barangan penting. Oleh itu, saya tidak menjangkakan tekanan inflasi akan menjadi faktor besar dalam masa terdekat.

“Buat masa ini, Bank Negara Malaysia (BNM) dijangka mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 2.75 peratus,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN