PETALING JAYA: Proton X50 terus mengukuhkan kedudukannya sebagai kenderaan utiliti sukan (SUV) segmen B paling laris di Malaysia selepas mencatatkan jumlah jualan melebihi 161,000 unit sejak dilancarkan pada Oktober 2020.
Bagi dua bulan pertama tahun ini sahaja, sebanyak 4,271 unit telah berjaya dihantar kepada pelanggan, menjadikan jumlah keseluruhan mencecah 161,033 unit termasuk pasaran eksport.
Sejak diperkenalkan, model ini bukan sahaja menjadi antara produk paling penting dalam sejarah Proton, malah turut mengubah persepsi pengguna tempatan terhadap jenama tersebut serta memacu pertumbuhan dalam segmen SUV.
Sepanjang lima tahun, Proton X50 telah mencatatkan prestasi jualan yang memberangsangkan dan mengekalkan status sebagai SUV segmen B paling laris selama lima tahun berturut-turut.
Pada tahun 2025, Proton X50 mencatatkan jualan melebihi 20,000 unit, manakala momentum tersebut diteruskan ke tahun ini, sekali gus mencerminkan keyakinan pengguna yang berterusan terhadap model berkenaan.
Ketua Pegawai Eksekutif Proton Edar, Datuk Ir Abdul Rashid Musa berkata, kejayaan Proton X50 mencerminkan evolusi Proton sebagai jenama automotif moden yang menekankan teknologi, prestasi dan pengalaman pemanduan.
“Proton X50 melambangkan evolusi Proton sebagai jenama automotif moden yang berteraskan teknologi.
“Ia menawarkan gabungan prestasi, ketersambungan dan keselamatan kepada pelanggan Malaysia yang sebelum ini sukar diperoleh dalam segmen ini, dan inilah antara faktor utama mengapa model ini terus mendapat sambutan kukuh daripada pembeli,” katanya dalam kenyataan.
Menurutnya, kejayaan Proton X50 telah membantu memperkukuh persepsi terhadap jenama Proton di Malaysia dan juga di peringkat antarabangsa.
“Model ini berjaya menarik generasi pembeli yang lebih muda sambil membuktikan bahawa kenderaan yang dipasang di Malaysia mampu bersaing dengan yang terbaik dari segi teknologi, reka bentuk dan pengalaman pemanduan,” ujarnya.
Dari segi inovasi, Proton X50 memainkan peranan penting dalam memperkenalkan teknologi baharu kepada barisan model Proton.
Ketika dilancarkan pada 2020, ia merupakan model pertama Proton yang menggunakan enjin turbo tiga silinder 1.5 liter serta dilengkapi sistem infotainmen ATLAS.
Penambahbaikan diteruskan menerusi pelancaran versi Proton X50 2025 yang menampilkan reka bentuk lebih dinamik serta kemas kini dalaman yang lebih moden dan tersendiri.
Model ini turut memperkenalkan enjin turbo empat silinder 1.5 liter i-GT dengan kuasa 181PS dan tork 290Nm, memberikan prestasi lebih responsif serta kecekapan bahan api yang lebih baik.
Selain itu, model baharu ini turut dilengkapi fungsi pengecaman suara dalam Bahasa Melayu serta sokongan Android Auto dan Apple CarPlay tanpa wayar, menjadikannya lebih relevan dengan keperluan pengguna masa kini.
Di peringkat antarabangsa, Proton X50 juga menunjukkan prestasi memberangsangkan dengan lebih 5,000 unit telah dieksport sejak pelancarannya.
Model ini dijangka terus menjadi pemacu utama dalam strategi pertumbuhan Proton, baik di pasaran domestik mahupun eksport. – UTUSAN










