Proton S70 2026 catat 7,157 tempahan dalam tempoh awal

Proton S70 2026 catat 7,157 tempahan dalam tempoh awal

PROTON S70 2026.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Proton merekodkan permintaan awal yang kukuh bagi model S70 2026 apabila menerima sebanyak 7,157 tempahan sejak tempahan dibuka pada 11 Februari lalu.

Sambutan menggalakkan itu mencerminkan keyakinan berterusan pembeli di Malaysia terhadap model berkenaan, di samping menyerlahkan peningkatan daya tarikan sedan segmen C keluaran Proton.

Sejak diperkenalkan pada November 2023, Proton S70 terus mencatatkan prestasi jualan memberangsangkan apabila jumlah penyerahan kini telah melebihi 40,000 unit.

Ketua Pegawai Eksekutif Proton Edar Sdn. Bhd., Datuk Ir. Abdul Rashid Musa berkata, pencapaian melepasi 40,000 unit sejak pelancarannya merupakan satu kejayaan penting bagi Proton dan membuktikan keyakinan berterusan rakyat Malaysia terhadap model tersebut.

“Kami akan terus berusaha mengekalkan momentum ini sambil memastikan pelanggan menikmati pengalaman pemilikan yang lebih baik, disokong oleh rangkaian Proton di seluruh negara,” katanya dalam kenyataan.

Prestasi Proton S70 turut membantu mengubah landskap persaingan dalam segmen sedan di Malaysia.

Dengan gabungan reka bentuk moden, prestasi mantap serta harga yang berpatutan, model tersebut berjaya menarik perhatian pembeli yang mencari pilihan lebih premium dalam kategorinya.

Proton S70 2026 dikuasakan oleh enjin turbo 1.5 liter yang menghasilkan kuasa 181PS dan 290Nm tork, dipadankan dengan transmisi dwi klac tujuh kelajuan yang menawarkan keseimbangan antara prestasi responsif dan keselesaan pemanduan harian.

Ruang kabin yang luas, ciri ketersambungan pintar serta rangkaian teknologi bantuan pemandu yang komprehensif turut meningkatkan daya tarikannya kepada pemandu yang mengutamakan keselesaan dan praktikaliti.

Selain itu, model tersebut turut disokong oleh rangkaian jualan dan perkhidmatan Proton di seluruh negara yang kekal antara yang terbesar dalam industri automotif tempatan.

Dengan 190 pusat 3S dan 4S serta 77 pusat Ketuk dan Cat (B&P) di seluruh negara, pelanggan menikmati akses mudah kepada perkhidmatan selepas jualan dan penyelenggaraan.

Inisiatif seperti perkhidmatan penyerahan dalam tempoh satu hari serta penyediaan kenderaan gantian bagi kerja pembaikan yang mengambil masa lebih lama turut membantu memastikan pengalaman pemilikan yang lebih lancar. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN