Proton catat jualan 13,566 unit pada Februari

Proton catat jualan 13,566 unit pada Februari

PROTON Saga 2026
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Proton merekodkan jualan sebanyak 13,566 unit kenderaan pada Februari lalu, susut 31 peratus berbanding Januari, namun meningkat 20.8 peratus berbanding tempoh sama pada 2025.

Bagaimanapun, secara keseluruhan, jualan bagi dua bulan pertama tahun ini mencecah 33,399 unit, meningkat 57.9 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif Proton Edar, Datuk Ir. Abdul Rashid Musa berkata, Proton memulakan 2026 dengan prestasi yang kukuh hasil permintaan berterusan terhadap barisan model baharu. 

“Pada masa sama, usaha menambah baik pengalaman pelanggan di bilik pameran dan pusat servis terus menjadi keutamaan.

“Dalam tempoh terdekat, fokus kami adalah untuk mengurangkan tempoh menunggu pelanggan dengan meningkatkan pengeluaran dan penghantaran setiap bulan tanpa menjejaskan kualiti produk. 

“Pelaburan yang dibuat di Tanjong Malim memberi keyakinan kepada kami untuk memenuhi permintaan pasaran,” katanya dalam kenyataan. 

Katanya, Jumlah Volum Industri (TIV) dianggarkan menurun 17.6 peratus kepada 52,996 unit berikutan tempoh perayaan pada pertengahan Februari yang menjejaskan aktiviti pendaftaran kenderaan. 

“Susulan itu, pegangan pasaran Proton bagi Februari dianggarkan sekitar 25.6 peratus, manakala pegangan pasaran tahun ke tarikh kini berada pada 28.5 peratus,” katanya. 

Dalam tempoh lima bulan, Proton telah melancarkan lima model meliputi kenderaan elektrik (EV), kenderaan enjin pembakaran dalaman (ICE) dan kenderaan hibrid elektrik plug-in (PHEV).

Pengenalan model-model ini menyumbang secara langsung kepada peningkatan jumlah jualan dan menjadi pemacu utama prestasi kukuh pada awal 2026.

Beliau berkata, Proton Saga kekal sebagai model paling laris selepas mencatat jualan bulanan tertinggi dalam sejarahnya pada Januari, sebanyak 6,047 unit didaftarkan lagi pada Februari. 

“Ini menjadikan jumlah jualan tahun ke tarikh Saga sebanyak 16.332 unit, meningkat 69.8 peratus berbanding tahun lalu, sekali gus mengekalkan kedudukannya sebagai model paling laris di Malaysia.

“Sementara itu, Proton X50 yang diperkenalkan dalam versi terkini pada Julai 2025 terus mencatat prestasi stabil. 

“SUV segmen-B itu merekodkan 1,842 unit pada Februari, menjadikan jumlah jualan tahun ke tarikh sebanyak 4.271 unit, meningkat 31.1 peratus berbanding tahun lalu,” jelasnya. 

Bagi 2026 Proton S70 turut menunjukkan peningkatan ketara dengan sebanyak 1,940 unit dicatatkan pada Februari, menjadikan jumlah jualan tahun ke tarikh sebanyak 3,544 unit, meningkat 51.5 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu. 

“Model ini juga merupakan penyumbang kedua tertinggi kepada jumlah jualan Proton bagi bulan tersebut.

“Jualan Proton S70 meningkat 51.5 peratus setakat tahun ini dan momentum tersebut dijangka berterusan. 

“Kurang daripada sebulan selepas pelancarannya, kira-kira 5,000 tempahan telah diterima di seluruh negara, menunjukkan penerimaan positif daripada pasaran,” ujarnya. 

Abdul Rashid berkata, aplikasi Proton Link 2.0 turut dikemas kini pada awal Mac bagi membolehkan pelanggan membuat tempahan servis secara terus dengan rangkaian pusat 3S/4S PROTON di seluruh negara.

“Selain produk baharu, Proton turut memberi perhatian kepada pengalaman pemilikan secara menyeluruh. 

“Daripada kemudahan bilik pameran dan pusat servis yang lebih selesa hingga kepada kemudahan dalam talian, kami komited memastikan pengalaman memiliki kenderaan Proton lebih mudah dan memuaskan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN