PETALING JAYA: Permodalan Nasional Berhad (PNB) menyokong penuh pelancaran Pelan Induk Pasaran Modal 2026–2030 (CMP) yang menetapkan hala tuju strategik ke arah membina ekosistem kewangan yang lebih berdaya saing, inklusif dan mampan di Malaysia.
Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan PNB, Datuk Abdul Rahman Ahmad berkata, penetapan sasaran untuk meningkatkan saiz pasaran modal tempatan kepada antara RM5.8 trilion hingga RM6.3 trilion menjelang 2030 merupakan langkah tepat pada masanya.
Beliau berkata, sebagai Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GLIC), PNB komited menggalas peranan sebagai pengurus pemangkin (catalytic stewards) dalam memacu prestasi nilai pemegang saham yang lebih kukuh menerusi tadbir urus yang bertanggungjawab.
“Kami tekad menyokong Tawaran Awam Permulaan (IPO) yang berkualiti serta membantu syarikat swasta berpotensi untuk menembusi pasaran awam bagi memperkukuh kecairan dan kepelbagaian pasaran kita.
“Selain itu, selaras dengan kepimpinan Malaysia dalam kewangan Islam, PNB bersedia menyokong pembangunan produk hutang inovatif dan instrumen sukuk global yang berpaksikan prinsip Maqasid al-Shariah,” katanya dalam kenyataan.
Menurut Abdul Rahman, pendekatan itu bukan sahaja bertujuan memperluaskan pasaran hutang domestik, malah memastikan pertumbuhan ekonomi yang mengutamakan kemampanan serta perkongsian kekayaan yang adil untuk semua pihak.
Sebagai syarikat pengurusan dana terbesar negara yang menguruskan amanah lebih 11 juta pemegang unit, PNB juga akan memberi fokus berterusan terhadap usaha memperkasakan literasi kewangan di bawah kerangka CMP tersebut.
“Kami komited menyediakan akses runcit kepada produk dan perkhidmatan inovatif sebagai sebahagian daripada pelan strategik untuk membina pasaran modal yang lebih inklusif bagi seluruh rakyat Malaysia.
“Langkah ini penting untuk memperkukuh keyakinan pelabur di peringkat global, sekali gus memastikan pasaran modal kita kekal relevan dan kompetitif dalam jangka masa panjang,” jelasnya. – UTUSAN










