PETALING JAYA: PMB Investment Berhad (PMB Investment) mengumumkan agihan pendapatan bagi dana PMB Shariah Growth Fund sebanyak 8.88 sen seunit untuk tahun kewangan berakhir 28 Februari 2026.
Agihan yang melibatkan jumlah keseluruhan RM10.5 juta itu mewakili pulangan sebanyak 5.73 peratus berdasarkan Nilai Aset Bersih (NAB) penutup seunit.
Ketua Pegawai Eksekutif PMB Investment, Hang Tuah Amin Tajudin berkata, dana tersebut telah mencatatkan pulangan satu tahun sebanyak 7.55 peratus dan pulangan tiga tahun sebanyak 21.44 peratus setakat 28 Februari lalu.
“Prestasi ini menunjukkan daya tahan dana melalui pelbagai kitaran pasaran meskipun berdepan keadaan global yang mencabar. Pendekatan berdisiplin kami berasaskan ekuiti patuh syariah dan peruntukan aset strategik terus memberi tumpuan kepada pelaburan berkualiti serta penciptaan nilai jangka panjang buat pemegang unit,” katanya dalam kenyataan.
PMB Shariah Growth Fund mengekalkan strategi peruntukan aset yang telus dengan 80 hingga 99.5 peratus daripada NAB dilaburkan dalam ekuiti patuh syariah dan sekuriti berkaitan ekuiti, manakala bakinya diperuntukkan kepada instrumen pasaran wang Islam, deposit, sukuk dan pelaburan lain yang dibenarkan.
Sementara itu, Pengerusi PMB Investment, Datuk Mohd Idzwan Izuddin Ab Rahman berkata, syarikat komited untuk memberikan nilai yang konsisten menerusi strategi patuh syariah yang berprinsip.
“Seterusnya, kami kekal fokus kepada misi teras untuk memperkasakan pelabur dengan penyelesaian inovatif yang mudah diakses bagi menyokong objektif kewangan jangka panjang mereka,” katanya
NAB seunit sebelum agihan dicatatkan pada RM1.6676 dan diselaraskan kepada RM1.5788 selepas agihan.
Pelabur yang berminat boleh mula melabur secara mudah melalui EZForm di laman web rasmi syarikat dengan pemindahan dana menerusi FPX.-UTUSAN










