PETALING JAYA: Perbelanjaan pelancongan domestik meningkat 12.4 peratus tahun ke tahun kepada RM32.6 bilion pada suku keempat 2025, disokong oleh permintaan domestik yang kukuh serta aktiviti perjalanan bermusim.
Bilangan pelawat domestik mencecah 74 juta pelawat, mencatatkan peningkatan 10.8 peratus tahun ke tahun.
Dari segi perbandingan suku ke suku, bilangan pelawat domestik meningkat 2.0 peratus berbanding suku tahun ketiga 2025, manakala ia meningkat 9.1 peratus berbanding suku tahun sebelumnya.
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, prestasi pelancongan domestik yang lebih kukuh itu didorong oleh peningkatan aktiviti perjalanan dalam kalangan rakyat Malaysia.
“Ini khususnya semasa tempoh cuti sekolah dan musim perayaan pada hujung tahun.
“Prestasi pada suku tahun ini mencerminkan permintaan domestik yang berterusan, disokong oleh peningkatan perbelanjaan bagi penginapan, perkhidmatan makanan dan minuman, pengangkutan serta aktiviti runcit merentas industri berkaitan pelancongan.
“Indikator daripada industri berkaitan pelancongan adalah selari dengan prestasi yang memberangsangkan sektor pelancongan domestik,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, ketibaan penumpang domestik di lapangan terbang meningkat sebanyak 17.9 peratus tahun ke tahun.
“Jualan runcit bahan api automotif pula mencatatkan pertumbuhan 7.1 peratus, mencerminkan tahap mobiliti yang lebih tinggi serta peningkatan perbelanjaan berkaitan perjalanan pada suku keempat 2025.
“Subsektor penginapan turut merekodkan prestasi yang kukuh dengan jumlah hasil meningkat sebanyak 14.7 peratus tahun ke tahun.
“Kadar penghunian hotel pula menunjukkan peningkatan merentasi semua kategori, mencerminkan permintaan yang lebih tinggi terhadap perkhidmatan penginapan,” ujarnya.
Menilai prestasi tahunan pelancongan domestik, beliau berkata, sektor ini mengekalkan pertumbuhan memberangsangkan pada 2025.
“Jumlah keseluruhan pelawat domestik mencecah 290.1 juta, meningkat 11.5 peratus berbanding 260.1 juta pelawat pada 2024.
“Perbelanjaan pelancongan domestik bagi tahun tersebut berjumlah RM121 bilion, mencatatkan pertumbuhan kukuh 13.3 peratus tahun ke tahun, sekali gus mencerminkan peningkatan sumbangan sektor ini kepada aktiviti ekonomi domestik,” jelasnya. – UTUSAN










