Pengetatan BUDI95 dijangka impak jualan kereta nasional

Pengetatan BUDI95 dijangka impak jualan kereta nasional

CIMB Securities mengekalan unjuran TIV 2026 PADA 800,000 unit.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pengetatan kuota bulanan BUDI95 untuk individu akan memberi impak terhad kepada jualan segmen nasional, kerana kebanyakan model nasional dilengkapi enjin berkapasiti kecil dan penggunaan bahan api lebih rendah untuk 100 kilometer (km).

Penganalisis penyelidikan CIMB Securities, Mohd. Shanaz Noor Azam berkata, pihaknya menganggarkan penggunaan bahan api tahunan antara 1,100 hingga 1,500 liter. 

“Ini diambil kira oleh purata jarak perjalanan tahunan sekitar 28,000 km bagi kenderaan persendirian mengikut anggaran Institut Penyelidikan Ke­selamatan Jalan Raya Malaysia.

“Ia turut merangkumi ekonomi bahan api yang dinyatakan pengeluar bagi lima model terlaris Malaysia 2025 iaitu Perodua Bezza, Axia, Myvi, Alza, dan Proton Saga yang menyumbang hampir 46 peratus daripada TIV 2025,” katanya dalam nota penyelidikan.

Beliau berkata, walaupun mengambil kira penggunaan sebenar yang lebih tinggi, ini menunjukkan terdapat ruang mencukupi selepas keputusan kerajaan mengurangkan kuota BUDI95 kepada 200 liter sebulan.

“Sementara itu, harga minyak mentah tinggi boleh mempercepat peralihan ke kenderaan elektrik (EV), terutamanya dalam kalangan pembeli segmen enjin pembakaran dalaman (ICE) premium. 

“Kami menjangkakan penembusan EV nasional meningkat pada 2026F, disokong pelancaran Proton e.MAS 5 dan penerusan insentif cukai untuk EV kenderaan pemasangan tempatan (CKD),” ujarnya.

Beliau berkata, jumlah volum industri (TIV) menurun 19.4 peratus tahun ke tahun kepada 52,414 unit pada Feb 2026, berikutan penurunan penghantaran dalam segmen kenderaan penumpang (PV) dan kenderaan komersial (CV). 

Menurutnya, Persatuan Automotif Malaysia (MAA) menyifatkan prestasi tahun ke tahun yang lemah itu berpunca daripada bulan bekerja yang lebih pendek dan sambutan Tahun Baharu Cina. 

“Jika dibandingkan secara bulanan, TIV Feb 2026 turut menurun 18.5 peratus, manakala jumlah pengeluaran kenderaan (TPV) pula menurun 19.9 peratus tahun ke tahun kepada 49,741 unit, sebahagiannya disebabkan penutupan kilang yang dijadualkan oleh pengeluar.

“MAA menjangkakan TIV akan pulih secara bulanan pada Mar 2026, disokong oleh musim perayaan Hari Raya Aidilfitri dan promosi yang sedang berlangsung. 

“Walau bagaimanapun, peningkatan bermusim ini mungkin sedikit terjejas kerana beberapa pengeluar dijangka menjalankan penyelenggaraan kilang yang dijadualkan semasa cuti Hari Raya Aidilfitri,” katanya.

Beliau berkata, firma itu mengekalkan ramalan TIV 2026 pada 800,000 unit (-2.5 peratus tahun ke tahun), sedikit lebih tinggi daripada unjuran MAA sebanyak 790,000 unit. 

“Ramalan ini disokong oleh permintaan mantap dalam segmen di bawah RM100,000, yang terus didominasi oleh jenama nasional dan beberapa model Jepun tahap permulaan,” jelasnya.

CIMB Securities mengekalkan penilaian ‘neutral’ bagi sektor ini memandangkan prospek pertumbuhan yang sederhana dalam persaingan pasaran yang semakin sengit. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN