Pelabur asing jual ekuiti RM157.4 juta minggu lalu

Pelabur asing jual ekuiti RM157.4 juta minggu lalu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sentimen pelabur asing di Bursa Malaysia kekal berhati-hati apabila aliran keluar bersih asing berjumlah RM156.4 juta direkodkan minggu lalu, sekali gus melanjutkan jualan bersih kepada dua minggu berturut-turut, menurut MBSB Research.

Berdasarkan data aliran dana, pelabur asing menjadi penjual bersih pada tiga daripada lima hari dagangan sepanjang minggu tersebut.

Aliran keluar terbesar dicatatkan pada Jumaat sebanyak RM108.1 juta, diikuti Khamis (RM83.7 juta) dan Isnin (RM11.6 juta).

Terdapat aliran masuk sederhana pada Selasa dan Rabu masing-masing sebanyak RM26.8 juta dan RM20.1 juta.

Dari segi sektor, perkhidmatan kewangan mencatat aliran keluar bersih tertinggi sebanyak RM175.4 juta, diikuti telekomunikasi dan media (RM90.5 juta) serta produk dan perkhidmatan perindustrian (RM53.3 juta).

Sebaliknya, sektor penjagaan kesihatan menjadi tumpuan belian asing dengan aliran masuk bersih RM74.7 juta.

Turut mencatat aliran masuk ialah sektor pengangkutan dan logistik (RM53.7 juta) serta hartanah (RM51.3 juta).

Dalam kalangan pelabur domestik, institusi tempatan turut merekodkan aliran keluar bersih RM85.1 juta, melanjutkan jualan bersih kepada empat minggu berturut-turut.

Sebaliknya, pelabur runcit tempatan terus memainkan peranan sebagai penyokong pasaran dengan mencatat aliran masuk bersih RM241.5 juta, menjadikan dua minggu berturut-turut belian bersih direkodkan.

Sementara itu, purata volum dagangan harian (ADTV) menunjukkan peningkatan menyeluruh dalam semua kategori pelabur.

ADTV pelabur asing melonjak 94.8 peratus, diikuti institusi tempatan meningkat 56.4 peratus dan pelabur runcit tempatan bertambah 28.2 peratus.

Perkembangan ini mencerminkan aktiviti dagangan yang lebih rancak walaupun sentimen pelabur asing kekal cenderung kepada pengurangan pegangan dalam pasaran tempatan.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN