SYDNEY: Pasaran saham di Asia merudum pada Isnin apabila pelabur bersedia menghadapi konflik berpanjangan di Teluk itu yang telah pun mendorong harga minyak ke arah rekod tertinggi bulanan, sekali gus mencetuskan lonjakan inflasi dan risiko kemelesetan di global, menurut laporan Reuters.
Financial Times pada Ahad memetik Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump berkata, AS boleh merampas Pulau Kharg di Teluk Parsi, yang menjadi laluan utama eksport minyak Iran, namun pada masa sama menyatakan gencatan senjata mungkin dapat dicapai dengan cepat.
Pakistan memaklumkan ia sedang bersedia untuk menjadi tuan rumah perbincangan bagi menamatkan konflik berkaitan Iran dalam beberapa hari akan datang, walaupun Tehran sebelum ini menuduh Washington sedang merancang serangan darat ketika tentera AS dihantar lebih ramai ke rantau tersebut.
Kumpulan Houthi di Yaman yang bersekutu dengan Iran turut melancarkan serangan pertama ke atas Israel sejak konflik bermula.
Penganalisis Geoekonomi Kanan Commonwealth Bank of Australia, Madison Cartwright berkata, Iran mempunyai kawalan ke atas Selat Hormuz, keupayaan untuk mengganggu pasaran tenaga dan makanan global serta keupayaan peluru berpandu dan dron yang berterusan, memberikan sedikit insentif untuk mengalah, sekali gus memberi tekanan kepada AS untuk meningkatkan tindakan.
“Kami menjangkakan perang ini berlarutan sekurang-kurangnya hingga Jun, dengan risiko cenderung kepada konflik yang lebih panjang,” katanya.
Sekatan di Selat Hormuz telah menyebabkan harga minyak, gas, baja, plastik dan aluminium melonjak, termasuk bahan api untuk pesawat dan perkapalan.
Harga makanan, farmaseutikal dan produk petrokimia juga dijangka meningkat.
Situasi ini memberi kesan buruk kepada Asia kerana sebahagian besar rantau itu bergantung kepada bekalan tenaga dari Asia Barat.
Indeks Nikkei Jepun susut 4.7 peratus, menjadikan jumlah kerugian bagi Mac hampir 14 peratus.
Pasaran Korea Selatan jatuh 4.2 peratus, manakala indeks luas MSCI Asia Pasifik di luar Jepun merosot 1.2 peratus
Niaga hadapan S&P 500 susut 0.7 peratus dan Nasdaq turun 0.9 peratus. Di Eropah, niaga hadapan EUROSTOXX 50 dan DAX masing-masing merosot 1.5 peratus, manakala FTSE turun 1.0 peratus.
Minyak mentah Brent naik 3.0 peratus kepada AS$115.98 (RM466.28) setong, menjadikan kenaikan bulanannya 60 peratus dan melepasi lonjakan selepas pencerobohan Iraq ke atas Kuwait pada 1990.
“Semakin lama Selat Hormuz kekal ditutup, semakin besar penyusutan bekalan simpanan yang boleh mencetuskan kenaikan mendadak harga minyak mentah, gas asli dan komoditi lain,” kata Ketua Ekonomi Global JPMorgan, Bruce Kasman.
“Senario di mana selat itu kekal ditutup selama sebulan lagi boleh menyaksikan harga minyak meningkat ke arah AS$150 (RM602.76) setong, serta kekangan kepada pengguna industri terhadap bekalan tenaga,” jelasnya. – UTUSAN










