KUALA LUMPUR: Projek Sambungan Lebuhraya Baru Pantai (NPE2) dijangka menjana ekonomi bernilai RM5.6 bilion khususnya dalam meningkatkan kecekapan mobiliti, merangsang pembangunan hartanah serta membuka peluang pekerjaan merentasi pelbagai sektor.
Ketua Pegawai Eksekutif Divisyen Tol IJM, Chua Lay Hoon berkata, projek itu bukan sahaja memberi impak kepada sektor pembinaan, namun menyumbang kepada rantaian nilai yang lebih luas termasuk penyedia perkhidmatan, teknologi dan penyelenggaraan infrastruktur.
Katanya, projek yang bernilai RM1.7 bilion termasuk kos pengambilan tanah dijangka siap pada hujung 2029.
“Sepanjang tempoh pembinaan, projek model kerjasama Awam – Swasta (PPP) yang dibiayai sepenuhnya oleh NPE akan mewujudkan lebih 1,000 peluang pekerjaan, melibatkan tenaga kerja kontraktor, jurutera serta pembekal bahan binaan.
“Selepas siap, sekitar 100 hingga 200 pekerjaan tambahan akan diwujudkan bagi operasi dan penyelenggaraan lebuh raya termasuk perkhidmatan keselamatan, pengendali operasi dan penyelenggaraan dan pengurusan trafik,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Selain itu, Lay Hoon berkata, pembangunan kemudahan seperti stesen pengecasan kenderaan elektrik (EV) berkelajuan tinggi turut dirancang, selari dengan peralihan negara ke arah mobiliti hijau.
“Kemudahan ini dijangka meningkatkan daya tarikan lebuh raya kepada pengguna moden, termasuk pemilik kenderaan elektrik,” katanya.
Menurut beliau, pembinaan lebuh raya ini dijangka akan menyurai trafik dan mengurangkan kesesakan trafik di sekitar Pantai Dalam dan Bangsar dan berperanan sebagai pemangkin kepada pertumbuhan aktiviti komersil dan ekonomi.
“Kesesakan yang berpanjangan mungkin akan menjejas aktiviti ekonomi dan sosial di persekitaran jajaran lebuh raya serta mengurangkan produktiviti.
“Dengan aliran trafik yang lebih lancar, perniagaan berpotensi berkembang dengan lebih efisien, sekali gus menarik lebih ramai pelanggan dan pelaburan ke kawasan terlibat,” katanya.
Menurut beliau, NPE 2 juga dijangka merangsang pembangunan hartanah dan komersial di sepanjang jajaran lebuh raya tersebut.
“Pemaju dilihat cenderung untuk membangunkan projek berhampiran akses lebuh raya kerana ia meningkatkan nilai hartanah serta kebolehcapaian
“Akses terus ke lebuh raya sering menjadi faktor utama dalam menentukan harga dan daya tarikan sesuatu pembangunan, menjadikan projek ini signifikan dalam merancakkan sektor hartanah,” katanya.
Dari sudut kewangan, jelasnya, projek ini melibatkan rundingan kos yang teliti selepas reka bentuk dimuktamadkan, termasuk penilaian jajaran, kapasiti lorong dan struktur lebuh raya.
“Tempoh rundingan boleh mengambil masa yang panjang bagi memastikan kos projek tepat dan berdaya maju.
“Pulangan pelaburan (ROI) dan struktur konsesi adalah tertakluk kepada kelulusan kerajaan, termasuk Kementerian Kerja Raya, Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS) dan Kementerian Kewangan,” katanya.
Lay Hoon berkata, antara cabaran utama projek ialah risiko kelewatan pembinaan yang disebabkan isu pengambilan tanah yang boleh menyebabkan peningkatan kos pembinaan serta kerugian hasil.
Sehubungan itu, pihak konsesi menyasarkan tempoh pembinaan sekitar empat tahun, dengan usaha berterusan untuk memastikan setiap fasa berjalan mengikut jadual,” katanya.
NPE 2 akan dilengkapi teknologi moden seperti kamera pintar, sistem pemantauan trafik masa nyata dan sistem lampu jalan pintar.
Teknologi ini bukan sahaja meningkatkan keselamatan lebuhraya dan pengguna lebuhraya, malah membantu analisis aliran trafik bagi pengurusan lebuh raya yang lebih efisien.-UTUSAN











