PETALING JAYA: MIXUE Malaysia menerusi inisiatif Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) berjaya menyantuni 35 anak yatim dalam program “Kongsi Manis Bersama MIXUE” yang diadakan di Rumah Anak-Anak Yatim Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Al-Haj, baru-baru ini.
Program dengan kerjasama Universiti College Agroscience Malaysia (UCAM) itu bertujuan menyebarkan keceriaan dan semangat kebersamaan dalam kalangan golongan kurang bernasib baik sepanjang bulan Ramadan yang mulia ini.
Seramai 60 peserta termasuk sukarelawan dan rakan kerjasama meluangkan masa beramah mesra dengan penghuni rumah kebajikan tersebut menerusi pelbagai sesi interaksi dan majlis berbuka puasa.


Selain pengisian aktiviti, pihak MIXUE turut mengagihkan 100 minuman, barangan cenderamata serta duit raya bagi memeriahkan lagi suasana sambutan buat anak-anak tersebut.
Sebelum program itu dilaksanakan, MIXUE Malaysia turut memainkan peranan aktif sebagai penaja utama di Bazar Ramadan Alor Gajah, Melaka bermula 2 hingga 11 Mac lalu.
Menerusi penglibatan tersebut, sebanyak 1,400 minuman percuma telah diagihkan kepada para pengunjung bazar sebagai tanda penghargaan kepada komuniti setempat.
Inisiatif di bazar tersebut merupakan sebahagian daripada Program MYSaveFood anjuran UCAM dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Melaka.

Program berkenaan memberi fokus kepada usaha mengurangkan pembaziran makanan di samping memupuk nilai keprihatinan masyarakat terhadap pengurusan sumber makanan yang lebih mampan.
Melalui siri inisiatif ini, MIXUE Malaysia terus membuktikan komitmennya dalam menyokong program kemasyarakatan yang bermakna, sekali gus memupuk semangat kemurahan hati dan kebaikan sepanjang bulan Ramadan. – UTUSAN










