SINGAPURA: StarDream Cruises belum melihat kesan yang segera peningatan kos bahan api di lokasi syarikat pelayaran tersebut beroperasi, susulan peningkatan harga minyak mentah akibat konflik di Asia Barat, malah turut menyerap sebahagian peningkatan kos di sesetangah lokasi.
Presidennya, Michael Goh berkata, krisis ini sebenarnya memberi kesan kepada industri pelancongan secara keseluruhan dan perkara itu dapat dilihat apabila kebanyakan syarikat penerbangan dan pelayaran telah mengenakan surcaj bahan api atau menaikkan harga tambang bagi menampung kos.
“Bagi kami, kapal beroperasi di pelbagai pelabuhan asal seperti Singapura, Taiwan dan Hong Kong. Apabila kami mengenakan surcaj bahan api, kami sangat telus kepada pelanggan.
“Kami menjelaskan bahawa caj berbeza mengikut lokasi, bergantung kepada kos sebenar yang ditanggung. Malah, di sesetengah lokasi, kami turut menanggung sebahagian kos tersebut dengan subsidi,” katanya kepada pemberita pada Pemeran Jenama StarDream Cruises di sini, semalam.
Malah, beliau berkata, pihaknya melihat perkembangan ini memberi peluang baharu iaitu pelancong yang merancang perjalanan jarak jauh mungkin mengubah rancangan kepada destinasi lebih dekat seperti Singapura, Taiwan atau Hong Kong.
“Kami menawarkan pilihan destinasi yang menarik, jadi walaupun berdepan krisis, masih terdapat peluang,” ujarnya.
Ketika ditanya berapa lama syarikat mampu menyerap peningkatan kos jika konflik tersebut berlarutan dalam jangka lebih panjang, beliau berkata, tiada siapa dapat meramalkan tempoh krisis ini dan pihaknya akan terus telus dengan pelanggan jika perlu menyesuaikan surcaj.
“Permintaan pelancongan kekal kukuh. Walaupun kos meningkat, orang tetap akan melancong tapi mungkin dengan mengurangkan kekerapan.
“Kami akan terus memahami tingkah laku pengguna dan menyesuaikan strategi,” jelasnya.
Terdahulu, StarDream Cruises telah memperkenalkan pelbagai hiburan dan sorotan kulinari untuk meraikan ulang tahun ke-10 jenama Dream Cruises
Syarikat pelayaran antarabangsa ini, yang mengendalikan armada terbesar yang kini belayar merentasi Asia, menawarkan pelayaran di kapal utamanya Genting Dream, Star Navigator dan Star Voyager dan kini ia menggandakan strategi yang diinspirasikan oleh rantau untuk menghubungkan pelancong ke lebih 50 destinasi di seluruh Asia Tenggara dan Asia Timur.
Sempena sambutan sedekad ini, StarDream Cruises membawa ikon budaya pop berprofil tinggi terus dalam pelayaran dengan persembahan oleh kumpulan K-pop, KIIRAS dan pemenang siri Netflix yang popular Physical: 100, Amotti .
Selain itu, terdapat juga penampilan khas oleh Chef Tommie Lee atau lebih dikenali sebagai French Papa daripada musim kedua sensasi global Culinary Class Wars.
Pada bulan Jun 2026, Genting Dream akan menganjurkan penampilan sulung Forever Broadway, satu kolaborasi dengan Broadway Asia International yang diilhamkan di New York.
Michael berkata, dengan pengalaman lebih tiga dekad di Asia, pihaknya memahami rantau ini dan apa yang paling dihargai oleh tetamu semasa mereka melancong.
“Hari ini, kami belayar ke lebih 50 destinasi di seluruh Asia, menghubungkan tetamu dengan pelbagai tempat dan pengalaman di luar kapal.
“Kami juga komited untuk membawa pelbagai destinasi dalam jangkauan, membolehkan tetamu mengalami pelbagai negara dan budaya, sambil menyokong ekonomi tempatan dan pertumbuhan pelancongan di pelabuhan yang kami lawati,” katanya.-UTUSAN











