PETALING JAYA: MBSB Bank bekerjasama dengan Pusat Pengurusan Wakaf, Zakat dan Infak Universiti Putra Malaysia (Wazan) bagi menyalurkan bantuan Aidilfitri berjumlah RM295,200 dengan keutamaan diberikan kepada pelajar asnaf menerusi pendekatan agihan zakat yang lebih tersasar dan berfokus.
Inisiatif ini diadakan bersempena Majlis Berbuka Puasa dan Solat Tarawih Bersama Tuanku Canselor UPM, Sultan Sharafuddin Idris Shah.
Majlis tersebut turut menyaksikan penyampaian replika cek sebagai simbol komitmen bank dalam menyokong pembangunan generasi muda negara.
Melalui kerjasama ini, MBSB menyalurkan sejumlah RM295,200 yang memanfaatkan 984 pelajar asnaf, dengan setiap pelajar menerima bantuan sara hidup sebanyak RM300 sebagai persediaan menyambut Aidilfitri.
Berdasarkan data yang dikumpulkan pada Disember 2025, lebih 2,070 pelajar di UPM dikenal pasti sebagai asnaf yang memerlukan bantuan kewangan.
Daripada jumlah tersebut, seramai 1,787 pelajar mengikuti pengajian Ijazah Sarjana Muda, diikuti pelajar Diploma dan Program Asasi.
Pelajar dalam kategori fakir berdepan kesukaran kewangan yang paling ketara, khususnya dalam menampung perbelanjaan asas dan persiapan perayaan.
Ditubuhkan pada 2016 dan melalui penjenamaan semula pada tahun 2025, WAZAN beroperasi berteraskan nilai ihsan, adil dan kecemerlangan, dengan memastikan dana wakaf, zakat dan infak diurus secara telus, berdisiplin dan berakauntabiliti.
Kerjasama bersama MBSB membolehkan bantuan disalurkan secara lebih tersasar dan berdasarkan keperluan sebenar kepada kategori pelajar yang paling memerlukan.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MBSB, Rafe Haneef berkata, matlamat kumpulan adalah untuk memperkukuh pendekatan agihan zakat agar lebih responsif dan tersasar.
“Ramai pelajar universiti berdepan tekanan kewangan yang serius dan sering terlepas pandang, terutamanya menjelang musim perayaan.
“Melalui kerjasama dengan WAZAN, bantuan disalurkan tepat kepada mereka yang memerlukan, bagi memberikan kelegaan yang segera dan bermakna,” katanya dalam kenyataan. – UTUSAN










