MAHB perluas sistem pengurusan akses kenderaan di KLIA Terminal 2

MAHB perluas sistem pengurusan akses kenderaan di KLIA Terminal 2

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) memperluaskan pelaksanaan Sistem Pengurusan Akses Kenderaan (VAMS) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Terminal 2 (T2) melalui ujian percubaan, susulan kejayaan di Terminal 1 (T1) pada tahun lalu.

Ujian percubaan yang berlangsung sehingga 30 Mac 2026 itu meliputi kawasan tepi jalan (kerbside) bagi kedua-dua pelepasan dan ketibaan, dengan memperkenalkan sistem masuk dan keluar berjadual melalui palang automatik bagi mengurus aliran trafik dengan lebih cekap.

Selepas tempoh percubaan tamat, caj akan dikenakan kepada kenderaan yang melebihi tempoh masa dibenarkan di kawasan tepi jalan.

Pengarah Urusan Malaysia Airports, Datuk Mohd Izani Ghani berkata, fasa kedua pelaksanaan VAMS di T2 mencerminkan komitmen berterusan syarikat dalam meningkatkan kecemerlangan perkhidmatan di KLIA.

Katanya, dengan memperbaiki aliran trafik di tepi jalan serta memastikan pergerakan kenderaan lebih lancar, sistem itu dapat mewujudkan pengalaman yang lebih selesa dan selamat kepada penumpang serta individu yang menghantar atau mengambil, terutama ketika permintaan perjalanan terus meningkat.

“VAMS di KLIA menyediakan tempoh kelonggaran selama 10 minit kepada kenderaan untuk menurunkan atau mengambil penumpang.

“Sepanjang tempoh percubaan di T2, tiada penalti akan dikenakan kerana fokus utama adalah memantau corak trafik dan tingkah laku pemandu sebelum pelaksanaan penuh sistem tersebut,” katanya dalam kenyataan.

Menurutnya, T2 merekodkan kira-kira 16,000 pergerakan kenderaan setiap hari di kawasan tepi jalan dan ujian percubaan ini akan membantu menentukan penyesuaian operasi yang optimum sebelum sistem dikuatkuasakan sepenuhnya.

“Sistem VAMS yang diperkenalkan di KLIA T1 tahun lalu berjaya mencatatkan pengurangan ketara kesesakan di kawasan tepi jalan. Kurang daripada satu peratus kenderaan didapati melebihi tempoh masa yang dibenarkan, bersamaan kira-kira 194 daripada 43,000 kenderaan setiap hari.

“Penambahbaikan itu membantu mengekalkan pergerakan trafik yang lebih lancar di kawasan tepi jalan terminal serta menyokong operasi trafik yang lebih selamat,” ujarnya.

Tambahnya, pelaksanaan VAMS di T2 dijangka memberi manfaat yang sama dengan meningkatkan kadar pergerakan kenderaan, memendekkan masa menunggu serta mempertingkatkan keselamatan di kawasan tepi jalan.

Katanya, ini selaras dengan komitmen Malaysia Airports untuk menyediakan pengalaman lapangan terbang yang lebih cekap dan berorientasikan perkhidmatan kepada penumpang. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN