Lonjakan harga diesel hingga 145% tekan industri pembinaan

Lonjakan harga diesel hingga 145% tekan industri pembinaan

TAPAK pembinaan. - GAMBAR HIASAN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Lonjakan mendadak harga diesel industri sehingga 145 peratus dalam tempoh kurang dua bulan memberi tekanan kepada kos operasi industri pembinaan, kata Persatuan Kontraktor Bumiputera Malaysia (PKBM).

Persatuan berkata, ia khususnya melibatkan penggunaan jentera berat, pengangkutan bahan binaan serta keseluruhan rantaian logistik projek.

Katanya, konflik geopolitik yang berlaku telah memberi kesan langsung kepada ekonomi global, termasuk peningkatan harga minyak dan gangguan rantaian bekalan. 

“Di Malaysia, kesannya kini jelas dirasai melalui kenaikan kos diesel, logistik serta harga bahan binaan.

“Trend kenaikan harga diesel industri menunjukkan lonjakan yang amat ketara dalam tempoh yang singkat dengan harga diesel meningkat daripada RM2.79 seliter pada Februari 2026 kepada RM6.85 seliter setakat 30 Mac 2026,” katanya dalam kenyataan. 

PKBM berkata, harga diesel industri di pasaran semasa menunjukkan ketidakstabilan dengan julat sekitar RM6.00 hingga RM6.16 seliter di beberapa lokasi utama seperti Lembah Klang, Melaka, Pasir Gudang, Kuantan, Lumut, Prai dan Langkawi.

“Malah, terdapat tawaran bekalan pukal yang mencecah sehingga RM6.98 seliter, manakala harga sekitar RM6.70 seliter termasuk kos pengangkutan turut direkodkan.

“Laporan media tempatan turut menunjukkan kos bahan binaan dijangka meningkat sehingga 30 peratus hingga 40 peratus, manakala lebih 41,000 kontraktor berisiko terjejas akibat ketidakstabilan kos semasa. 

“Pada masa yang sama, kadar sewaan jentera dan logistik juga meningkat secara mendadak, antaranya lori satu tan sehingga RM450 sehari, lori tiga tan (RM550), jentera pengorek (RM1,300) dan jengkaut (RM650).

“Pelarasan harga ini berlaku secara langsung akibat kenaikan kos diesel dan memberi kesan besar kepada kos keseluruhan projek pembinaan,” jelasnya.

Menurut PKBM, jika situasi berterusan, industri pembinaan berdepan beberapa risiko, termasuk kenaikan harga bahan binaan, margin keuntungan terhakis, kelewatan projek, risiko kerugian, tindakan senarai hitam serta kemungkinan kontraktor gulung tikar, khususnya dalam kalangan perusahaan kecil dan sederhana.

Justeru itu, PKBM menggesa kerajaan mengambil langkah segera, termasuk mengaktifkan semula mekanisme Perubahan Harga Kontrak (VOP), mengkaji semula projek terjejas, mengawal harga bahan binaan serta melanjutkan tempoh kontrak projek.

Bagi jangka panjang, persatuan itu mencadangkan pelaksanaan pakej rangsangan khas industri, penstrukturan semula kontrak, pengurangan kos bahan binaan import serta perluasan penggunaan teknologi seperti Pemodelan Maklumat Bangunan (BIM) dan Sistem Binaan Berindustri (IBS).

PKBM berkata, tanpa campur tangan segera, industri pembinaan berisiko berdepan krisis lebih serius termasuk peningkatan projek terbengkalai dan kejatuhan syarikat kontraktor tempatan.

“Industri ini merupakan pemacu utama ekonomi negara dan memerlukan penyelesaian menyeluruh bagi memastikan kestabilannya terus terpelihara,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×