PETALING JAYA: Lamb Weston, pengeluar kentang sejuk beku terkemuka dunia, menyifatkan pensijilan halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) sebagai tonggak utama strategi perniagaannya bagi memastikan kelestarian dan daya saing jenama itu di pasaran Asia Tenggara, khususnya Malaysia.
Sejak bertapak lebih 60 tahun dalam sektor perkhidmatan makanan di negara ini, syarikat yang diasaskan pada 1950 itu terus memperluaskan pengaruhnya dengan memasuki pasaran runcit Malaysia secara rasmi pada Januari 2026.
Pengarah Komersial Lamb Weston Asia Tenggara, Vicky Mukhi berkata, pematuhan halal bukan sekadar memenuhi keperluan kawal selia, malah ia merupakan jaminan kualiti dan integriti produk yang menjadi jangkaan utama pengguna tempatan.
“Di pasaran seperti Malaysia, halal berkait rapat dengan keselamatan dan ketelusan produk. Bagi Lamb Weston, mengekalkan pensijilan ini memperkukuh disiplin operasi kami dalam memenuhi standard pasaran yang dinamik.
“Ia membolehkan kami menyertai ekosistem ekonomi halal dengan lebih bermakna, sambil memastikan penjajaran dengan kerangka kawal selia serantau,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Menurut beliau, bagi menjamin kepatuhan yang konsisten, Lamb Weston melaksanakan sistem jaminan halal dalaman yang ketat merangkumi setiap peringkat rantaian nilai, daripada pemilihan bahan mentah sehingga ke peringkat pengedaran.
Produk runcit Lamb Weston bagi rantau EMEA (Eropah, Timur Tengah dan Afrika) kini mendapat pensijilan daripada halal Correct (HC) dan halal Quality Control (HQC), yang diiktiraf di peringkat antarabangsa dan selaras dengan keperluan pihak berkuasa Malaysia.
“Kami memastikan bahan mentah diperoleh secara eksklusif daripada pembekal yang disahkan halal, disokong oleh proses pengesahan dokumen yang ketat serta amalan kebersihan di fasiliti pengeluaran bagi mengelakkan pencemaran silang,” katanya.
Mengulas mengenai cabaran organisasi berskala global, Vicky berkata, mengekalkan piawaian yang seragam merangkumi pelbagai pembekal dan kemudahan memerlukan pengawasan berterusan.
Bagaimanapun, beliau berkata, melalui audit berstruktur, latihan kakitangan dan kerjasama erat dengan badan pensijilan, Lamb Weston mampu memastikan kepatuhan yang sistematik.
“Pensijilan halal menyediakan asas yang kukuh untuk kami berkembang ke wilayah majoriti Muslim yang lain. Ia mempermudahkan proses kemasukan pasaran, meningkatkan kredibiliti jenama, dan menyokong integrasi yang lebih lancar ke dalam rantaian bekalan sedia ada,” tambahnya.
Kemasukan Lamb Weston ke sektor runcit pada awal tahun ini membolehkan pengguna menikmati kentang goreng berkualiti restoran di rumah, sekali gus mengukuhkan lagi kedudukan syarikat sebagai pembekal utama dalam ekosistem makanan Malaysia.-UTUSAN










