Kos logistik, tenaga melonjak susulan ketegangan AS-Iran - Utusan Malaysia

Kos logistik, tenaga melonjak susulan ketegangan AS-Iran

ketegangan Amerika Syarikat-Iran cetus gangguan besar kepada saluran logistik dunia. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pasaran global kini menyaksikan pelarasan drastik yang tertumpu kepada sektor perkapalan dan tenaga, berikutan ketegangan geopolitik antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran yang mencetuskan gangguan besar kepada saluran logistik dunia.

Kadar tambang kapal tangki minyak mencatatkan lonjakan tertinggi sebanyak 97.3 peratus, diikuti oleh kenaikan mendadak dalam indeks turun naik risiko global (VIX) sebanyak 48.5 peratus dan harga tenaga yang meningkat 41.5 peratus.

Pengarah dan Penganalisis Strategi Pelaburan dan Ekonomi IPPFA Sdn. Bhd., Mohd. Sedek Jantan berkata, corak ini menunjukkan bahawa kejutan geopolitik tersebut pada mulanya berpunca daripada risiko bekalan tenaga dan logistik sebelum meresap ke dalam pasaran kewangan.

“Pasaran pada awalnya memberi tumpuan kepada risiko gangguan laluan pengangkutan minyak dan rantaian bekalan. Kenaikan harga baja (35.3 peratus) serta tambang kontena di Asia (28.3 peratus) menunjukkan bahawa peningkatan konflik ini telah menjejaskan laluan pengangkutan global secara serius.

“Walaupun pasaran kewangan dan mata wang menunjukkan pelarasan yang lebih sederhana, risiko makroekonomi utama kini terletak pada kesan pusingan kedua daripada kos tenaga dan logistik yang tinggi secara berterusan. Ini boleh memburukkan tekanan inflasi dan merumitkan prospek dasar bank pusat utama dunia,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Di peringkat serantau, ekuiti seperti MSCI Asia ex-Japan menyusut sekitar 9.9 peratus, manakala S&P 500 jatuh kira-kira 3.6 peratus.

Pelabur turut beralih kepada aset selamat yang menyaksikan harga emas meningkat 3.4 peratus dan dolar AS mengukuh sebanyak 2.8 peratus.

Mengulas mengenai pasaran domestik, Mohd. Sedek berkata, reaksi Bursa Malaysia menerusi indeks penanda aras FTSE KLCI Bursa Malaysia (FBM KLCI) dan kadar pertukaran AS$/RM adalah relatif terkawal berbanding pergerakan mendadak dalam sektor perkapalan global.

“Pelarasan pasaran tempatan masing-masing sekitar 2.5 peratus bagi FBM KLCI dan 1.8 peratus bagi ringgit, menunjukkan pasaran kita lebih dipengaruhi oleh sentimen risiko serantau dan kecairan dolar global berbanding pendedahan langsung kepada kejutan tenaga awal.

“Pendedahan Malaysia terhadap komoditi, terutamanya dalam sektor tenaga, mungkin memberikan kesan perlindungan separa (cushioning effect) yang membantu mengurangkan risiko penurunan kepada pasaran kewangan domestik sekiranya harga minyak terus kekal tinggi,” tambah beliau.

Sementara itu, Pensyarah Kanan Ekonomi dan Perbankan, Fakulti Ekonomi dan Muamalat Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr. Mohd. Faisol Ibrahim berkata, peningkatan mendadak kos logistik dan tenaga global berisiko mencetuskan tekanan inflasi yang berpanjangan, khusunya melalui mekanisme inflasi tolakan kos yang meresap ke dalam rantaian bekalan dan harga pengguna.

Katanya, walaupun kesan awal mungkin dilihat sebagai kejutan sementara, tempoh konflik yang berlarutan boleh menyebabkan tekanan kos menjadi lebih bersifat struktur, sekali gus menyukarkan usaha menstabilkan harga dalam jangka sederhana.

“Dalam pada itu, kedudukan Malaysia sebagai pengeksport komoditi khususnya dalam sektor tenaga, sedikit sebanyak memberi kesan perlindungan kepada ekonomi domestik, terutama dari sudut hasil eksport dan imbangan perdagangan.

“Namun, kebergantungan ini juga mempunyai risiko kerana turun naik harga komoditi boleh mewujudkan ketidaktentuan kepada hasil negara serta menjejaskan kestabilan ekonomi sekiranya tidak diurus dengan baik,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, peningkatan kos global yang berterusan dijangka memberi kesan pusingan kedua kepada inflasi domestik, sekali gus meletakkan bank dunia dalam kedudukan dasar yang lebih mencabar.

“Dalam keadaan ini, bank pusat perlu mengimbangi antara keperluan mengawal inflasi dan memastikan pertumbuhan ekonomi tidak terjejas, dengan ruang dasar monetari yang kini dilihat semakin terhad berikutan ketidaktentuan luaran yang berterusan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN