Konflik Iran-AS dorong kenaikan inflasi - Utusan Malaysia

Konflik Iran-AS dorong kenaikan inflasi

KETEGANGAN geopolitik dijangka mendorong kenaikan inflasi sekitar 2.2 peratus akhir tahun ini, kerana kenaikan inflasi makanan dan pengangkutan. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kadar inflasi keseluruhan Malaysia diunjurkan meningkat kepada sekitar 2.2 peratus menjelang akhir tahun ini, didorong oleh tekanan berterusan dalam kumpulan makanan dan perkhidmatan berkaitan pengangkutan susulan konflik Iran-Amerika Syarikat (AS).

Unjuran itu meningkat berbanding kadar inflasi semasa pada paras 1.6 peratus, mencerminkan kesan rantaian daripada konflik geopolitik yang semakin memuncak di Asia Barat yang mula memberi tekanan kepada kos logistik dan input pertanian.

Pengarah dan Penganalisis Strategi Pelaburan dan Ekonomi IPPFA Sdn. Bhd., Mohd. Sedek Jantan berkata, harga makanan secara spesifiknya dijangka meningkat kepada antara 2.5 hingga 2.7 peratus berikutan kos pengeluaran yang lebih tinggi.

“Walaupun tekanan ini tidak akan mencetuskan kenaikan harga secara mendadak, ia akan muncul secara beransur-ansur terutamanya bagi premis perkhidmatan makanan, barangan diproses dan sektor yang mempunyai margin keuntungan kecil.

“Rakyat Malaysia perlu bersedia menghadapi tahun harga yang sedikit lebih tinggi, khususnya dalam kategori perkhidmatan dan berkaitan makanan, bukannya lonjakan kos bahan api atau elektrik yang mendadak,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Mengulas lanjut, beliau berkata, harga pengangkutan dan makanan merupakan kategori yang akan menerima kesan paling awal kerana pelarasan logistik dan operasi berkaitan bahan api bertindak balas lebih pantas terhadap konflik global.

“Bagaimanapun, dengan dagangan ringgit yang berada dalam julat 3.90 hingga 4.00 berbanding dolar AS ketika ini banyak membantu mengekang inflasi import daripada menjadi lebih parah,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, sebarang gangguan ke atas laluan strategik seperti Selat Hormuz akan melonjakkan harga minyak global berikutan pasaran mula mengambil kira risiko premium terhadap kemungkinan gangguan bekalan.

Walaupun kerajaan mengekalkan harga bahan api domestik melalui inisiatif BUDI95 dan Skim Diesel Bersubsidi, perlindungan tersebut hanya terhad kepada penggunaan domestik dan tidak meliputi operasi logistik antarabangsa.

“Harga bahan api yang digunakan oleh kapal kargo antarabangsa, syarikat perkapalan dan perkhidmatan logistik global tidak menerima subsidi. Apabila harga minyak dunia meningkat, kos operasi untuk pengangkutan antarabangsa ini turut melonjak.

“Situasi ini secara langsung menaikkan kos penghantaran, premium insurans maritim dan kos logistik global yang mana Malaysia sebagai ekonomi terbuka akan merasai kesannya melalui kenaikan kos import bahan mentah, makanan serta komponen industri,” katanya.

Tambah beliau, kos yang lebih tinggi itu akhirnya berpotensi dipindahkan kepada pengguna melalui harga barangan yang lebih mahal di pasaran.

“Tetapi kesan tersebut biasanya tidak berlaku serta-merta kerana terdapat beberapa lapisan penyesuaian dalam rantaian bekalan sebelum ia diterjemahkan sepenuhnya dalam harga pengguna,” tambahnya.

Mengulas lanjut mengenai fasa kenaikan harga, beliau berkata, kesan inflasi biasanya berlaku secara berperingkat (multi-round transmission) dan pada peringkat awal, ia cenderung bersifat sementara bergantung kepada tempoh konflik.

Katanya, dalam fasa pertama, kenaikan harga minyak global akan mencetuskan kejutan sentimen pasaran dan kos tenaga, namun impak langsung kepada inflasi domestik masih terhad kerana kawalan harga bahan api seperti RON95 dan diesel bersubsidi.

“Tekanan harga sebenar biasanya muncul dalam fasa kedua iaitu apabila kos logistik, penghantaran dan bahan input yang lebih tinggi mula dipindahkan kepada pengguna, terutamanya bagi sektor makanan.

“Sebagai contoh, harga makanan boleh meningkat jika terdapat kenaikan kos baja atau makanan ternakan yang sebahagiannya diimport. Walaupun produk menggunakan bahan tempatan, realitinya kebanyakan produk masih menggunakan input import seperti pembungkusan atau bahan tambahan,” katanya.

Menurut Mohd. Sedek, kesan kenaikan tersebut lazimnya akan mula kelihatan dalam tempoh sekitar dua hingga tiga bulan apabila stok baharu yang dihasilkan dengan kos input lebih tinggi mula memasuki pasaran.

Tambah beliau, sama ada inflasi akan menjadi lebih berpanjangan atau tidak, ia bergantung kepada tempoh konflik geopolitik tersebut berlarutan.

“Jika konflik berakhir dalam tempoh singkat, kesannya mungkin terhad kepada kejutan harga sementara. Namun, jika harga tenaga kekal tinggi selama beberapa bulan, tekanan inflasi boleh merebak kepada kos pengeluaran, margin syarikat dan akhirnya harga pengguna dalam ekonomi domestik,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN