KUALA LUMPUR: Tiada keperluan segera untuk pakej rangsangan menyeluruh susulan konflik berterusan di Asia Barat, kata Bank Negara Malaysia (BNM).
Gabenor, Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour berkata, bank pusat memilih pendekatan holistik dan bersasar memandangkan keadaan ekonomi kekal berdaya tahan.
Menurutnya, sebarang pakej rangsangan tidak boleh dilaksanakan secara menyeluruh atau berasaskan sektor semata-mata, sebaliknya perlu mengambil kira gambaran keseluruhan dan tahap kesihatan ekonomi.
“Malaysia memasuki tahun ini dari kedudukan yang kukuh susulan pemulihan daripada pelbagai krisis, khususnya pandemik Covid-19.
“Kita perlu mengambil perhatian dan mengakui bahawa kita telah keluar daripada beberapa krisis, khususnya pandemik Covid-19.
“Selepas pandemik, pelbagai bantuan telah dilaksanakan, termasuk sokongan fiskal kerajaan dan bantuan perbankan, semuanya dengan pendekatan bersasar,” katanya pada sidang akhbar Dialog Tahunan BNM di sini, hari ini.
Beliau berkata, langkah sokongan yang dilaksanakan selepas pandemik adalah bersifat bersasar dan masih diteruskan.
“Langkah ini diteruskan dan bank-bank bersedia untuk membantu peminjam, syarikat korporat serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS).
“Sekiranya berdepan masalah kewangan, mereka boleh mendapatkan bantuan daripada pihak bank,” katanya.
Abdul Rasheed berkata, kerajaan terus mendapatkan maklum balas daripada pelbagai sektor melalui mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN).
“Ini bagi membolehkan pihak berkuasa mendapatkan gambaran menyeluruh mengenai keadaan ekonomi, mengenal pasti segmen yang terjejas dan menyalurkan bantuan ke kawasan yang paling memerlukan.
“Ia tidak boleh dilakukan secara menyeluruh atau berasaskan sektor semata-mata. Kita perlu melihat secara holistik keseluruhan ekonomi sebelum menentukan penyaluran sumber,” jelasnya. – UTUSAN










