PETALING JAYA: Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) mengumumkan pelantikan Kamal Azira Hassan dan Adnan Zaylani Mohamad Zahid sebagai Ahli Lembaga Pengarah untuk tempoh dua tahun, berkuat kuasa 15 Februari 2026.
Kedua-duanya dilantik oleh Menteri Kewangan, Lembaga Pengarah SC bertanggungjawab memantau keseluruhan tadbir urus SC dengan pengawasan mandat kawal selia dan pembangunannya.
Menurut SC, Kamal Azira mempunyai lebih 25 tahun pengalaman dalam undang-undang awam, perlembagaan dan pentadbiran, serta litigasi kerajaan, hal ehwal undang-undang antarabangsa, tadbir urus kewangan dan nasihat kawal selia.
“Beliau telah berkhidmat dalam peranan penting di Jabatan Peguam Negara, Jabatan Perdana Menteri, Pejabat Penasihat Undang-undang Negeri, badan berkanun dan kementerian persekutuan, menerajui litigasi dan unit undang-undang khusus.Kamal Azira memegang Ijazah Sarjana Undang-undang dalam Pentadbiran Undang-undang Islam dan Ijazah Sarjana Muda Undang-undang dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.
“Selain itu, Adnan Zaylani merupakan Timbalan Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) yang menyelia Pasaran dan Pembangunan Kewangan, mempunyai lebih 30 tahun pengalaman dalam mengurus rizab antarabangsa, dana sektor awam lain dan merangka dasar dan strategi pembangunan sektor kewangan.
“Beliau merupakan ahli Jawatankuasa Dasar Monetari dan Kestabilan Kewangan BNM. Beliau telah menyumbang kepada inisiatif pembangunan kewangan Islam dan Pelan Tindakan Sektor Kewangan 2022-2026 dan telah terlibat dalam program yang menyokong pembiayaan PKS, rangkuman kewangan dan literasi kewangan,” katanya dalam kenyataan.
Adnan Zaylani merupakan pemegang Ijazah Sarjana Dasar Awam dari Sekolah Kerajaan Blavatnik, Universiti Oxford, Ijazah Sarjana Sains dalam Ekonomi Pasaran Global dan Ijazah Sarjana Muda Sains dalam Ekonomi dari Sekolah Ekonomi dan Sains Politik London.
Beliau merupakan Profesional Bertauliah dalam Kewangan Islam dan juga berkhidmat sebagai Profesor Adjung di Universiti Malaysia Terengganu.
Kamal Azira dan Adnan Zaylani akan berkhidmat dalam Lembaga Pengarah SC sehingga 14 Februari 2028.
Sementara itu, Pengerusi SC, Datuk Mohammad Faiz Azmi mengalu-alukan pelantikan tersebut.
“Kepakaran luas mereka dalam bidang perundangan, kewangan dan kawal selia akan mengukuhkan lagi Lembaga Pengarah SC dalam memastikan pasaran modal beroperasi dengan adil, teratur dan telus,” katanya.-UTUSAN










