KUALA LUMPUR: Industri Perkhidmatan dan Peralatan Minyak dan Gas (OGSE) Malaysia mencatat pencapaian bersejarah apabila merekodkan hasil RM94.5 bilion bagi tahun kewangan berakhir 2024.
Pencapaian tertinggi itu sejak Malaysia Petroleum Resources Corporation (MPRC) mula menjejak data industri itu pada 2013 dengan rekod setakat 2005.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif MPRC, Mohd. Yazid Ja’afar berkata, pencapaian itu turut disertai lonjakan 95 peratus keuntungan sebelum cukai kepada RM9.4 bilion.
Katanya, jumlah syarikat OGSE juga meningkat kepada 1,855 berbanding 1,833 pada tahun kewangan 2023, mencerminkan perkembangan berterusan dalam ekosistem industri.
“Dalam edisi OGSE100 bagi tahun kewangan 2024, industri meraih hasil bersejarah RM94.5 bilion, tertinggi sejak MPRC mula menjejak data ini pada 2013, bersama lonjakan 95 peratus dalam keuntungan sebelum cukai kepada RM9.4 bilion,” katanya dalam ucapan pada Forum CEO OGSE100 2026 di sini, semalam.
Mengulas ketahanan industri selepas kejatuhan harga minyak 2014 dan krisis Covid-19, Mohd. Yazid membangkitkan persoalan mengenai hala tuju seterusnya yang perlu diteroka pemain industri.
Katanya, persoalan itu menjadi semakin mendesak susulan konflik berterusan di Asia Barat yang dijangka memperhebat cabaran sedia ada seperti peningkatan kos, perubahan perdagangan global dan tekanan daya saing.
Dalam pada itu, Mohd. Yazid berkata, industri perlu mengiktiraf tiga peranan utama iaitu sebagai pemudah cara yang menyokong rantaian nilai minyak dan gas, khususnya sektor huluan yang menyumbang 8.6 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).
Katanya, industri OGSE berperanan sebagai enjin pertumbuhan dengan sumbangan langsung 2.2 peratus kepada ekonomi.
“Industri juga bertindak sebagai pemangkin peralihan tenaga dengan memanfaatkan serta memindahkan keupayaan sedia ada kepada peluang baharu seperti tenaga boleh baharu, pemerangkapan, penggunaan dan penyimpanan karbon (CCUS) serta hidrogen.
“Seiring landskap yang berkembang, MPRC telah menyegarkan semula kenyataan Visi dan Misi dengan memperluas penglibatan melangkaui OGSE tradisional untuk menjadi Peneraju dalam menjamin masa depan industri Perkhidmatan dan Peralatan Minyak, Gas dan Tenaga Malaysia.
“Bagi merealisasikan visi ini, MPRC perlu mentransformasikan industri kepada sektor yang berdaya tahan, berdaya saing dan diiktiraf di peringkat global,” katanya.
Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE), Abu Bakar Yusof berkata, sektor tenaga terus memainkan peranan penting dalam mengekalkan momentum perdagangan negara apabila produk petroleum kekal sebagai kategori eksport kedua terbesar Malaysia dengan nilai RM103.55 bilion, mewakili 6.4 peratus daripada jumlah eksport keseluruhan tahun lalu.
Ujarnya, eksport gas asli cecair (LNG) dan petroleum mentah pula menyumbang tambahan RM71.05 bilion, sekali gus mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai pembekal tenaga global yang relevan dan dipercayai.
“Prestasi kukuh sektor tenaga itu menyumbang kepada pencapaian keseluruhan perdagangan Malaysia yang mencatat sejarah baharu pada 2025 meskipun berdepan persekitaran global yang semakin tidak menentu.
“Buat pertama kali, jumlah perdagangan negara melepasi RM3 trilion, mencecah RM3.061 trilion, meningkat 6.3 peratus tahun ke tahun. Eksport pula melepasi RM1 trilion untuk tahun kelima berturut-turut apabila meningkat 6.5 peratus kepada RM1.607 trilion, manakala import berkembang 6.2 peratus kepada RM1.455 trilion,” katanya. – UTUSAN










