PETALING JAYA: Harga minyak sawit mentah (MSM) dijangka kekal melebihi RM4,450 dalam tempoh terdekat, disokong oleh harga tenaga yang tinggi serta jurang harga minyak sawit-gasoil (POGO) yang menggalakkan.
Namun begitu, pertumbuhan ekonomi yang lebih perlahan serta ketidaktentuan di Asia Barat yang meningkatkan turun naik harga berkemungkinan menangguhkan sementara import dari pasaran utama, sekali gus mengehadkan kenaikan harga.
Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC) berkata, pengeluaran minyak sawit Malaysia menurun secara bermusim kepada 1.28 juta tan pada Februari, susut 18.5 peratus (-293,000 tan) berbanding Januari.
Katanya, penurunan ini terutamanya disebabkan oleh jumlah hari penuaian yang lebih sedikit berikutan bulan yang lebih pendek serta cuti umum Tahun Baharu Cina.
“Eksport kekal kukuh pada Februari, merangkumi 88 peratus daripada pengeluaran Malaysia dan menyumbang kepada paras stok yang lebih rendah. Ini berlaku walaupun terdapat penurunan 22.5 peratus bulan ke bulan (-327,000 tan) kepada 1.12 juta tan.
“Secara kumulatif, eksport dari Januari hingga Februari meningkat 18.7 peratus (+406,000 tan) kepada 2.58 juta tan, dengan India menyumbang bahagian terbesar peningkatan tersebut,” katanya dalam kenyataan.
Dalam pada itu, harga minyak sayuran mula menunjukkan aliran menaik pada Mac selepas tempoh penyatuan yang panjang sejak pertengahan 2025, disokong oleh kenaikan harga minyak mentah susulan gangguan logistik di Selat Hormuz serta pengisytiharan force majeure oleh beberapa penapisan minyak utama di Asia Barat.
Dalam kalangan minyak sayuran utama, minyak sawit menjadi peneraju harga dengan peningkatan 10 peratus sejak tercetusnya konflik pada 27 Februari.
Sebagai perbandingan, minyak rapeseed naik empat peratus, minyak bunga matahari meningkat tiga peratus, manakala minyak kacang soya hanya naik satu peratus di pasaran global.
Kenaikan ketara harga gasoil di pasaran global telah meningkatkan daya saing penggunaan dan campuran biodiesel.
Industri biodiesel Brazil telah menggesa peningkatan mandat campuran daripada B15 kepada B16, manakala Indonesia mempercepatkan ujian jalan raya bagi campuran B50 untuk mengurangkan kebergantungan import, walaupun garis masa pelaksanaannya masih belum jelas.
Sementara itu, import minyak sawit India pulih dengan kukuh dalam dua bulan pertama 2026, meningkat sebanyak 965,000 tan atau 149 peratus kepada 1.6 juta tan berbanding tempoh sama tahun lalu.
“Walaupun minyak kacang soya dari Amerika Selatan didagangkan pada harga setara dengan minyak sawit pada Mac, India dijangka terus mengutamakan import minyak sawit pada Mac dan April berikutan peningkatan mendadak kos penghantaran.
“Tempoh penghantaran dari Amerika Selatan ke India lazimnya mengambil masa enam hingga tujuh minggu, berbanding hanya 7 hingga 10 hari dari Malaysia,” katanya. – UTUSAN










