Harga minyak sawit mentah dijangka meningkat - MPOB - Utusan Malaysia

Harga minyak sawit mentah dijangka meningkat – MPOB

AHMAD PARVEEZ GHULAM KADIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Harga minyak sawit mentah (MSM) dijangka mengalami kenaikan dalam jangka pendek sekiranya harga minyak mentah kekal tinggi susulan ketegangan di Asia Barat.

Ketua Pengarah Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), Datuk Dr. Ahmad Parveez Ghulam Kadir berkata, lonjakan harga minyak mentah juga berpotensi menjadikan biodiesel berasaskan sawit lebih kompetitif berbanding diesel fosil, sekali gus meningkatkan permintaan di negara yang mengamalkan mandat campuran bahan api boleh diperbaharui. 

“Jika harga minyak mentah kekal tinggi, MSM berkemungkinan mengekalkan momentum kenaikan dalam jangka pendek kerana faktor daya saing biodiesel dan spekulasi pasaran. 

“Walau bagaimanapun, jika konflik berlarutan dan memberi kesan kepada pertumbuhan ekonomi global, tekanan inflasi serta kelembapan permintaan daripada negara pengimport utama boleh mengehadkan kenaikan harga atau mencetuskan pembetulan dalam jangka sederhana,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Menurut beliau, sekiranya konflik mencetuskan inflasi global dan memperlahankan pertumbuhan ekonomi, permintaan terhadap minyak sayuran boleh menyusut, sekali gus memberi tekanan kepada harga dalam jangka sederhana. 

“Oleh itu, trajektori harga dijangka tidak sekata, dengan kemungkinan kenaikan awal diikuti turun naik yang lebih ketara,” katanya. 

Justeru, Ahmad Parveez berkata, MPOB masih meneliti strategi yang perlu diambil. 

“Perkara ini masih di peringkat awal dan masih di peringkat pemantauan perkembangan konflik dan dibincangkan peringkat kementerian. 

“Buat masa ini, terlalu awal untuk mengumumkan langkah dasar khusus, dan sebarang penyelarasan lanjut akan dibuat selari dengan hala tuju kementerian,” katanya. 

Jelas beliau, konflik di Asia Barat yang melibatkan kuasa besar seperti Amerika Syarikat, Israel dan Iran lazimnya memberi kesan segera kepada pasaran minyak mentah Brent. 

“Sekiranya berlaku gangguan di laluan strategik seperti Selat Hormuz, harga minyak mentah Brent dunia boleh melonjak dengan ketara. 

“Kenaikan ini memberi kesan tidak langsung kepada harga minyak sawit kerana minyak sawit berkait rapat dengan sektor tenaga melalui biodiesel,” katanya. 

Dalam menghadapi ketidaktentuan geopolitik, MPOB menyokong strategi kepelbagaian pasaran dengan mengurangkan kebergantungan kepada Asia Barat dan memperkukuh eksport ke Asia Selatan serta Asia Timur. 

“Industri juga digalakkan memanfaatkan instrumen lindung nilai dan perancangan kos yang lebih strategik bagi menguruskan volatiliti harga komoditi,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN