PETALING JAYA: Peningkatan ketegangan antara Amerika Syarikat (AS)-Israel dan Iran meningkatkan risiko gangguan di Selat Hormuz, sekali gus berpotensi melonjakkan harga minyak mentah dunia ke julat AS$70 hingga AS$85 setong.
CIMB Securities dalam nota penyelidikannya berkata, Selat Hormuz merupakan laluan kritikal bagi eksport minyak dan gas asli cecair (LNG) global, di mana sebarang gangguan penghantaran akan mengetatkan pasaran tenaga dan mencetuskan kenaikan premium risiko.
Penganalisis CIMB Securities, Ivy Ng Lee Fang berkata, meskipun kenaikan harga minyak Brent sebanyak AS$10 setong boleh meningkatkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia sekitar 0.06 hingga 0.10 peratus, impaknya dilihat bercampur.
“Keuntungan ini mungkin terhad berikutan penurunan pengeluaran minyak domestik serta kesan imbangan daripada subsidi bahan api.
“Dari sudut fiskal, hasil petroleum mungkin meningkat RM3.5 bilion, namun ia dijangka diatasi oleh perbelanjaan subsidi yang lebih tinggi, mengakibatkan kemerosotan fiskal bersih sebanyak RM1.6 bilion atau -0.08 peratus daripada KDNK,” katanya dalam nota tersebut.
Mengulas mengenai pasaran saham, beliau berkata, impak langsung terhadap KLCI adalah minimum dalam tempoh terdekat kerana harga RON95 kekal dihadkan pada RM1.99 seliter di bawah skim BUDI95.
Bagaimanapun, harga minyak yang tinggi dijangka memberi manfaat kepada kaunter berkaitan tenaga seperti Hibiscus, Dialog dan MISC. Sebaliknya, syarikat dengan pendedahan di Timur Tengah seperti IHH dan YTL Power mungkin menerima kesan negatif.
“Sektor pembinaan, bahan binaan, penerbangan dan pelancongan juga dijangka melihat reaksi negatif jika konflik ini berlarutan bagi tempoh lama,” katanya.
Susulan ketidaktentuan itu, CIMB Securities mengekalkan sasaran KLCI pada 1,754 mata dengan mengutamakan pilihan saham defensif seperti RHB Bank (TP: RM9.55), Tenaga Nasional (TP: RM15.90) dan Telekom Malaysia (TP: RM8.20).
Firma itu menambah, walaupun pasaran biasanya mengalami ketidaktentuan jangka pendek semasa konflik, sejarah menunjukkan impak jangka panjang terhadap pasaran modal adalah terhad. – UTUSAN










