PETALING JAYA: Dorsett Grand Subang menekankan pensijilan halal sebagai satu daripada faktor utama untuk meningkatkan keyakinan pelanggan dan memacu pertumbuhan perniagaan makanan dan minumannya terutamanya dalam menawarkan bufet Ramadan.
Pengurus Makanan dan Minumannya, Roshidee Sheik berkata, pensijilan halal bukan sahaja memenuhi permintaan pelancong beragama Islam tetapi juga menjadi elemen penting dalam strategi korporat bagi menarik pelanggan daripada agensi kerajaan dan korporat.
Katanya, hotel tersebut telah memperoleh pensijilan halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) kira-kira enam tahun lalu bagi sajian makanan di banquet, Room Dining dan Coffee House.
“Kami mempunyai lima restoran dan satu daripadanya mempunyai pensijilan halal, iaitu Coffee House. Hotel ini mempunyai tujuh dapur dan kesemua dapur tersebut kami menjalankan kemaskini sijil halal setiap tahun.
“Pensijilan halal amat penting kerana kami banyak menerima pelanggan daripada sektor kerajaan serta pelancong beragama Islam.
“Oleh itu, setiap bahan mentah dipilih daripada pembekal yang diiktiraf halal, audit dijalankan secara berkala dan setiap proses penyediaan makanan dipantau untuk memastikan piawaian halal dipatuhi sepenuhnya,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini, baru-baru ini.
Beliau berkata, pensijilan halal turut membantu hotel menerima lebih banyak tempahan daripada agensi kerajaan serta penganjuran acara rasmi, sekali gus meningkatkan jumlah pelanggan dan perniagaan hotel secara keseluruhan.
Tambahnya, hotel telah menyaksikan peningkatan keyakinan pelanggan sejak menerima pensijilan halal, sekali gus menunjukkan bahawa sijil halal bukan sahaja aspek simbolik, tetapi satu elemen penting dalam strategi perniagaan.
“Apabila pelanggan melihat hotel menyediakan bufet Ramadan yang diiktiraf halal, mereka lebih yakin untuk memilih hotel ini sebagai tempat berbuka puasa bersama keluarga atau rakan sekerja.
“Malah, pensijilan halal juga menjadi syarat utama sebelum hotel dibenarkan mengadakan bufet Ramadan oleh pihak berkuasa agama,” ujarnya.
Sementara itu, Sous Chef, Chef Shahbani Md Akhir berkata, pematuhan halal merupakan keutamaan dalam operasi dapur hotel iaitu setiap bahan mentah yang diterima akan melalui pemeriksaan rapi bagi memastikan hanya bahan yang memenuhi standard halal digunakan.
“Sekiranya sesuatu bahan tidak memenuhi keperluan halal, ia tidak akan digunakan dalam penyediaan makanan. Selain itu, proses penyediaan, pengendalian dan penyimpanan makanan dilaksanakan mengikut garis panduan halal bagi memastikan tiada pencemaran silang berlaku.
“Pensijilan halal juga menjadi faktor penting dalam memberi keyakinan kepada tetamu bahawa makanan yang disediakan adalah bersih, selamat dan mematuhi piawaian yang ditetapkan,” jelasnya.
Tambahnya, bufet Ramadan tahun ini mengetengahkan konsep cita rasa ASEAN yang merangkumi hidangan tempatan serta menampilkan menu daripada negara jiran seperti Thailand, Singapura, Vietnam dan Indonesia bagi memberikan variasi pilihan kepada tetamu. – UTUSAN










