KERAJAAN berhasrat melaksanakan pendekatan Fast Track (jalur pantas) bagi memastikan projek pembangunan awam dapat disiapkan dalam tempoh dua tahun berbanding kaedah sedia ada yang lazimnya mengambil masa sehingga empat tahun.
Pendekatan itu dilihat mampu mempercepat rangsangan ekonomi selain membolehkan rakyat menikmati manfaat peruntukan pembangunan dengan lebih cepat.
Bagaimanapun, realiti pelaksanaan projek awam menunjukkan masih terdapat cabaran yang perlu ditangani.
Pemantauan terkini Kementerian Kerja Raya (KKR) menunjukkan 855 projek berada dalam pembinaan dengan 255 projek (29.8 peratus) pada tahap awal jadual, 273 projek (31.9 peratus) mengikut jadual, manakala 289 projek (33.8 peratus) lewat jadual dan 35 projek (4.1 peratus) dikategorikan sebagai projek sakit.
Statistik tersebut menggambarkan hampir satu pertiga projek berada dalam kategori lewat jadual, sekali gus menimbulkan persoalan sama ada adakah sasaran itu mampu dicapai tanpa menjejaskan kualiti projek.
Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Dr. Ahmad Maslan berkata, pendekatan Fast Track itu mampu dilaksanakan apabila penggunaan teknologi pembinaan moden, terutama Sistem Pra-Cetak Modular (MPS) diberi penekanan.
“Sistem MPS, iaitu sistem ala Lego membolehkan komponen bangunan dipasang dengan cepat. Di China, syarikat Broad Corporation pernah membina bangunan 10 tingkat dalam tempoh 28 jam 45 minit dan bangunan 57 tingkat dalam 19 hari menggunakan sistem ini.
“Namun, sistem MPS masih pada peringkat awal pelaksanaan di negara ini. Jadi, saya berharap sistem ini dapat menjadi trend baharu dalam industri pembinaan negara bagi mempercepatkan pelaksanaan projek,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Bagaimanapun, beliau berkata, Malaysia telah lama menggunakan pendekatan teknologi pembinaan moden seperti Sistem Pembinaan Berindustri (IBS) dan Pemodelan Maklumat Bangunan (BIM).
“IBS telah lama dilaksanakan di negara ini, manakala penggunaan BIM kini diperluaskan khususnya bagi projek bernilai RM10 juta ke atas.
“IBS melibatkan komponen seperti tiang dan dinding yang disiapkan di kilang sebelum dipasang di tapak, manakala BIM ialah pelan digital tiga dimensi yang membantu mengelakkan pertindihan reka bentuk serta mengurangkan kos jangka panjang,” katanya.
Sementara itu, daripada jumlah projek sakit itu, 73 peratus berpunca daripada kelemahan kontraktor termasuk perancangan yang lemah, masalah aliran tunai serta kekurangan tenaga kerja.
Baki 24 peratus melibatkan isu tanah, utiliti, kelulusan pihak berkuasa tempatan dan faktor cuaca, manakala tiga peratus berpunca daripada perubahan skop projek.
Selain itu, terdapat 1,249 projek di peringkat pra-pembinaan, 108 projek kerja awalan serta 395 projek telah siap dan berada dalam tempoh tanggungan kecacatan (DLP), menjadikan keseluruhan projek yang dikendalikan sebanyak 2,607 projek.
Beliau berkata, bagi memastikan sasaran itu dapat dicapai, KKR turut menyediakan prosedur operasi standard (SOP) khusus serta melaksanakan pemantauan rapi oleh pegawai penguasa di peringkat negeri dan daerah bagi menilai prestasi kontraktor dan konsultan.
“Namun, pelaksanaan projek dalam tempoh lebih singkat bukan sekadar melibatkan percepatan jadual kerja, sebaliknya memerlukan penyelarasan menyeluruh antara kementerian dan agensi berkaitan.
“Pendekatan itu perlu dilaksanakan berasaskan prinsip whole-of-government approach bagi memastikan proses kelulusan, perancangan, reka bentuk serta perolehan dapat dilaksanakan secara lebih bersepadu,” jelasnya.
Ahmad Maslan berkata, KKR menerima peruntukan pembangunan tertinggi dalam Belanjawan 2026 iaitu sebanyak RM9.6 bilion daripada keseluruhan RM10.69 bilion yang diperuntukkan kepada kementerian tersebut.
Katanya, jumlah projek di bawah seliaan kementerian itu amat besar dan memerlukan tahap kecekapan pelaksanaan yang tinggi.
“Yang penting kita perlu ada ‘sense of urgency’. Itulah penekanan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi terhadap semua projek yang dilaksanakan.
“Justeru, sasaran dua tahun menjadi penanda aras baharu bagi memastikan projek kerajaan dapat disiapkan dengan lebih cepat dan memberi impak langsung kepada rakyat,” katanya.
Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan supaya pelaksanaan projek kecil di semua daerah di seluruh negara dipercepatkan bagi membolehkan rakyat menikmati manfaatnya dengan lebih segera.
Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, permasalahan rakyat di peringkat daerah perlu diberi perhatian oleh semua pimpinan di peringkat Kerajaan Persekutuan dan negeri. – UTUSAN










