PETALING JAYA: Empire Premium Food Bhd., pengendali rangkaian Empire Sushi, merancang menggunakan sebahagian besar hasil tawaran awam permulaan (IPO) bagi memperluas operasinya dengan membuka 56 cawangan baharu dalam tempoh tiga tahun akan datang.
Syarikat itu menyasarkan meraih RM152.6 juta menerusi penyenaraiannya di Pasaran Utama Bursa Malaysia pada 17 April ini.
Menurut prospektusnya, kira-kira 51.8 peratus daripada dana yang diperoleh akan diperuntukkan khusus untuk pengembangan rangkaian, melibatkan pembukaan 56 cawangan baharu berkonsepkan ‘grab-and-go’ dan ‘quick dine-in’.
Langkah itu selari dengan strategi kumpulan untuk memperkukuh kedudukannya sebagai rangkaian sushi terbesar di Malaysia dari segi hasil dan jumlah cawangan.
IPO tersebut melibatkan tawaran sehingga 363 juta saham biasa, termasuk 218 juta saham baharu dan sehingga 145 juta saham sedia ada.
Selain pengembangan, sebahagian hasil IPO turut akan digunakan bagi menaik taraf cawangan sedia ada, modal kerja serta menampung kos penyenaraian.
Berdasarkan jumlah saham selepas penambahan dan harga IPO 70 sen sesaham, permodalan pasaran syarikat dijangka mencapai kira-kira RM770 juta selepas penyenaraian.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Nicole Lim berkata, pelancaran prospektus menandakan langkah penting syarikat untuk memasuki fasa pertumbuhan seterusnya sebagai entiti tersenarai awam.
“Kami akan terus membangunkan menu sushi baharu yang berkualiti tinggi dan sedap, sambil mengekalkan harga mampu milik untuk pelanggan, sejajar dengan misi kami membawa sushi ke dalam kehidupan seharian,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Maybank Investment Bank Berhad, Michael Oh-Lau berkata, pihaknya berbangga dapat menyokong Empire Premium mencapai pencapaian penting ini.
“Dengan pasaran domestik Malaysia yang kukuh dan permintaan pengguna yang semakin matang terhadap pilihan makanan berkualiti tinggi dan mampu milik, kami yakin kumpulan berada pada kedudukan baik untuk memperkukuh kepemimpinan pasaran.
“Kami menantikan peluang untuk memperdalam kerjasama dengan Empire Premium sewaktu ia terus mengembangkan aspirasi pertumbuhan,” jelasnya.
Permohonan bagi tawaran runcit IPO itu dibuka sehingga 31 Mac 2026.











