PETALING JAYA: Program Outreach dan Latihan e-Dagang di bawah Program Pembangunan e-Dagang Rentas Sempadan (eBizLink 2.0) yang dianjurkan di Sepang, Selangor pada 4 Mac lalu menarik penyertaan lebih 160 usahawan tempatan, sekali gus melepasi sasaran awal sekitar 120 peserta.
Program yang dianjurkan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) ini turut disokong oleh rakan strategik iaitu Selangor Information Technology & Digital Economy Corporation (SIDEC), Platfrom Selangor (PLATS), Wanita Berdaya Selangor serta Majlis Perbandaran Sepang.
Ketua Pegawai Eksekutif Matrade, Abu Bakar Yusof berkata, sambutan yang amat menggalakkan terhadap program ini jelas mencerminkan minat tinggi usahawan Selangor dalam mengadaptasi strategi pemasaran digital sebagai pemangkin pertumbuhan perniagaan.
“Program seperti ini berjaya memberikan pendedahan yang signifikan kepada usahawan mengenai kepelbagaian teknologi digital termasuk pemasaran rentas sempadan.
“Ia membolehkan produk tempatan bukan sahaja dipasarkan di dalam negara, malah berupaya menembusi pasaran global,” katanya dalam kenyataan.
Turut dilaksanakan adalah Program Celik Digital Negeri Selangor 2026 yang merupakan inisiatif sulung anjuran Matrade menerusi eBizLink 2.0 yang berimpak tinggi di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (2026–2030), bertujuan memperkasa perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dalam bidang e-dagang rentas sempadan.
“Sepanjang tahun 2026, di bawah inisiatif eBizLink 2.0, Matrade telah merancang pelaksanaan sebelas program promosi eksport e-dagang rentas sempadan serta lima program pemerkasaan keupayaan perdagangan digital khusus untuk perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) di seluruh negara,” ujarnya.
Tambahnya, inisiatif ini selaras dengan aspirasi Kerajaan Madani untuk melahirkan lebih ramai usahawan eksport yang berdaya saing di peringkat global, di samping memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai hab ekonomi digital serantau serta mempertingkat daya tahan ekonomi negara dalam era pendigitalan. – UTUSAN










