Dari jurutera aeroangkasa kini jual ais krim

Dari jurutera aeroangkasa kini jual ais krim

SHEIKH Abd. Rahman ketika ditemui di Gelato A Lago.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SELAMA 12 tahun Sheikh Abd. Rahman membina kerjaya bersama syarikat aeroangkasa dari Amerika Syarikat (AS), Boeing sehingga diberi kepercayaan menjadi Pengarah Wilayah syarikat itu bagi ASEAN.

Tugas itu memerlukannya berulang-alik dari AS ke Malaysia, Indonesia, Thailand dan Vietnam, namun, lama-kelamaan dia mula rasa mahu berbuat sesuatu yang benar-benar memberi kepuasan dan lebih menggembirakan hidupnya.

Ketika isterinya mendapat tawaran kerja di Rom selama setahun kira-kira 13 tahun lalu, kesempatan itu diambilnya untuk menjelajah Itali sebagai pengembara dan mula faham apa itu gelato (ais krim Itali), geleta (fros) dan kesannya dalam kehidupan sesebuah keluarga. 

“Contohnya, saya nampak bapa dan anak duduk makan dalam restoran berjam-jam. Berbual sesama mereka. 

“Habis makan, keluar jalan-jalan. Beli gelato, duduk di piazza (tempat awam) atau di tangga sambil borak-borak. Maknanya, rakyat di sana menjalani waktu harian secara perlahan-perlahan, mereka menikmati kehidupan yang sederhana,” katanya kepada Utusan Malaysia, baru-baru ini.

Setelah nekad meninggalkan kerjaya dalam bidang aeroangkasa untuk memulakan kehidupan baharu di Putrajaya, Sheikh memulakan perniagaan Gelato A Lago di tepi tasik bersebelahan kampus Heriot-Watt University Malaysia bermodalkan RM300,000.

Lokasi berkenaan menjadi pilihannya kerana ia mengingatkan pada keindahan Tasik Como di Itali yang pernah dilawatinya.

Sheikh mula ‘berguru’ dengan pengasas sebuah syarikat yang pakar mengendalikan bengkel berkaitan kopi dan latihan barista yang juga memiliki beberapa kedai ais krim. 

Dia belajar asas membuat gelato dan mula membeli beberapa mesin dan mahu pastikan gelato dihasilkannya adalah asli dan rasanya disukai.

“Ada tiga perkara penting untuk menjadikan gelato itu sedap dan berkualiti iaitu rasa, kelembutan dan tekstur. Bila makan ia akan cepat cair di mulut, sekali gus melepaskan rasanya lebih pantas.

“Ais krim memerlukan suhu dingin tinggi untuk menyimpan sedangkan gelato rendah sedikit. Suhu sedemikian menjadikan gelato lebih lembut berbanding ais krim yang keras.

“Saya mula bereksperimen dan buat gelato tapi saya tidak mahu syok sendiri. Perlu ada penanda aras untuk produk dan diri saya sendiri. Saya kena pergi Itali. Kena rasa sendiri gelato yang terbaik di sana,” katanya.

Lantas dia mengembara ke Itali selama 10 hari dengan senarai kedai gelato yang ada penarafan tiga kon, iaitu bermakna cemerlang di Rom, Siena, Florence, Tuscany, Pisa, Venice, dan Bologna, iaitu pusat utama gelato berkualiti tinggi di Itali.

Akhirnya pada Oktober tahun lepas, Gelato A Lago pun beroperasi secara rasminya dengan lima kru dan pelanggan terdiri daripada 80 peratus pelajar Heriot-Watt University Malaysia dan 20 peratus lagi pengikut dalam media sosial. 

Pada Disember ketika cuti semester, dia menyangkakan kedainya bakal ‘sunyi’ namun sebaliknya berlaku. 80 peratus pelanggan adalah orang luar manakala bakinya pelajar universiti berkenaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN