Bufet Ramadan Klana Beach Resort salur RM1 untuk wakaf

Bufet Ramadan Klana Beach Resort salur RM1 untuk wakaf

Dr. Abdul Aziz Sheikh Ab. Kadir mencuba juadah (tengah) meninjau hidangan yang disajikan pada Bufet Ramadan Senja Seri Warisan di Klana Beach Resort Port Dickson. -UTUSAN / NOR SHAFIQAH MOHD GHAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PORT DICKSON: Dalam usaha membantu pengguna mengurus perbelanjaan sepanjang Ramadan, Klana Beach Resort Port Dickson tampil menawarkan pakej bufet Ramadan pada harga berpatutan, di samping inisiatif kebajikan menerusi sumbangan RM1 bagi setiap pembelian bagi tujuan wakaf.

Pengerusi Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS), Datuk Seri Dr. Abdul Aziz Sheikh Ab. Kadir berkata, kerjasama strategik bersama hotel berkonsep wakaf itu bukan sahaja memberi manfaat kepada pengunjung, malah menyumbang secara langsung kepada peningkatan kutipan wakaf di negeri ini.

Katanya, bufet Ramadan bertemakan ‘Senja Seri Warisan’ itu dijangka menerima sambutan menggalakkan berdasarkan trend tahun-tahun sebelum ini.

“Kalau kita lihat tahun-tahun lepas, program berbuka puasa seperti ini memang terkenal dan kadar harga yang ditawarkan pula adalah berpatutan. Setiap kupon yang dibeli akan menyumbang RM 1 kepada wakaf.

“Melalui wakaf ini, pelbagai bantuan dapat disalurkan termasuk kepada sekolah-sekolah dan perpustakaan yang memerlukan, khususnya yang tidak mempunyai akaun khas,” katanya ketika ditemui pada Majlis Prebiu Buffet Ramadan 2026 di sini, semalam.

Abdul Aziz berkata, pada 2025, jumlah kutipan wakaf di Negeri Sembilan mencecah RM 5.6 juta, meningkat berbanding tahun 2024 iaitu sebanyak RM 5.4 juta, selari dengan peningkatan kutipan zakat di negeri ini.

“Kita melihat momentum ini semakin baik dan menunjukkan trend peningkatan berterusan. Ini membuktikan kesedaran masyarakat terhadap amalam wakaf semakin meningkat,” katanya.

Sementara itu, bufet Ramadan ‘Senja Seri Warisan’ yang berlangsung dari 21 Februari hingga 18 Mac itu menampilkan pelbagai juadah tradisional warisan Melayu sebagai tarikan utama.

Bufet itu ditawarkan pada harga promosi awal RM60 bagi dewasa, manakala harga normal RM70 bermula 21 Februari, namun, kanak-kanak, warga emas dan orang kurang upaya (OKU) pula dikenakan bayaran sebanyak RM38.

Dalam pada itu, Abdul Aziz berkata, konsep wakaf turut diterapkan secara menyeluruh di Klana Beach Resort yang merupakan hotel wakaf, termasuk sumbangan daripada sebahagian hasil operasi hotel.

“Selain bufet Ramadan, sebahagian hasil jualan bilik hotel ini turut disalurkan kepada wakaf,” katanya.

Tambahnya, MAINS turut menggalakkan penglibatan semua lapisan masyarakat termasuk kanak-kanak untuk berwakaf dengan sumbangan serendah RM 1 atau minimum RM 5 bagi memupuk kesedaran sejak usia muda.-UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN