PETALING JAYA: Bank Negara Malaysia (BNM) dijangka mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada paras 2.75 peratus dalam mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) hari ini, meskipun ekonomi negara mencatat pertumbuhan lebih kukuh.
Standard Chartered Global Research berkata, bank pusat itu dijangka mengekalkan pendirian dasar monetari semasa berikutan tekanan inflasi yang masih terkawal serta ketidaktentuan luaran yang berterusan.
“BNM sebelum ini memberi isyarat bahawa pendirian dasar monetari ketika ini kekal sesuai dan menyokong pertumbuhan ekonomi, tanpa petunjuk jelas ke arah pembalikan segera pemotongan kadar faedah yang dilaksanakan secara pra-emptif pada Julai 2025.
“Walaupun pertumbuhan ekonomi lebih kukuh, keadaan inflasi yang sederhana dijangka memberi ruang kepada BNM untuk mengekalkan OPR buat masa ini sambil menilai perkembangan ekonomi dalam suku-suku akan datang,” katanya dalam nota penyelidikan.
Selain itu, data terkini menunjukkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) suku keempat disemak naik kepada 6.3 peratus tahun ke tahun berbanding 5.7 peratus sebelum ini, sekali gus menjadikan pertumbuhan keseluruhan tahun 2025 sebanyak 5.2 peratus, melebihi jangkaan.
Namun, tekanan inflasi didapati semakin kurang meluas sepanjang suku terbabit, yang memberi petunjuk bahawa keadaan harga masih terkawal.
Dalam kenyataan dasar monetari akan datang, pasaran juga dijangka memberi perhatian terhadap sebarang perubahan nada dalam panduan dasar BNM, khususnya sama ada terdapat isyarat yang lebih cenderung kepada pengetatan dasar monetari.
Sementara itu, Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr.Mohd. Afzanizam Abdul Rashid berkata, beliau menjangkakan OPR dikekalkan pada paras 2.75 peratus.
“Namun, pihak jawatankuasa MPC dijangka akan mengeluarkan kenyataan yang lebih berhati-hati dari sudut prospek pertumbuhan dan juga risiko inflasi akibat daripada kenaikan harga minyak mentah global sekarang ini,” katanya.
Dalam pada itu, Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Juwai IQI, Kashif Ansari berkata, pasaran kewangan antarabangsa setakat ini kekal stabil walaupun berlaku lonjakan dolar Amerika Syarikat (AS) dan harga minyak.
“Justeru, kami tidak melihat keperluan untuk sebarang perubahan kadar. Fokus utama dijangka tertumpu kepada inflasi dan pertumbuhan domestik,” katanya.
Menurut Ansari, kadar yang stabil meningkatkan keyakinan pembeli rumah dan pelabur kerana bayaran gadai janji lebih mudah diramal.
Ujarnya, bagi pinjaman perumahan RM450,000 untuk tempoh 30 tahun, kenaikan 25 mata asas dianggarkan menambah sekitar RM60 hingga RM70 kepada bayaran bulanan jumlah yang kecil tetapi boleh menjejaskan kelayakan pinjaman.
“Aktiviti transaksi dilaporkan stabil di kawasan tumpuan seperti Greater Kuala Lumpur, Johor Bahru dan George Town.
“Pemaju pula kekal berdisiplin tanpa tanda-tanda lebihan bekalan atau pemanasan melampau pasaran.
“Secara keseluruhan, IQI menjangkakan kesinambungan dasar monetari ini akan terus menyokong isi rumah, perniagaan dan sektor hartanah dalam suasana global yang mencabar,” katanya. – UTUSAN










