BNM catat untung bersih RM12.45 billion pada 2025

BNM catat untung bersih RM12.45 billion pada 2025

BANK Negara Malaysia (BNM)
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Bank Negara Malaysia (BNM) merekodkan keuntungan bersih selepas cukai sebanyak RM12.45 bilion bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025, sekali gus mencerminkan prestasi kewangan yang kekal kukuh.

Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour berkata, keuntungan itu disokong oleh jumlah pendapatan keseluruhan sebanyak RM14.35 bilion sepanjang tempoh berkenaan.

“Bagaimanapun, prestasi tersebut menunjukkan sedikit penyusutan berbanding keuntungan bersih RM13.16 bilion dan pendapatan RM14.98 bilion yang dicatatkan pada tahun sebelumnya.

“Penyusutan marginal itu selari dengan persekitaran pasaran kewangan global yang dinamik, memandangkan peranan utamanya dalam mengurus rizab antarabangsa negara yang terdedah kepada ketidaktentuan luaran,” katanya pada sidang akhbar Dialog Tahunan BNM di sini, semalam. 

Dalam pada itu, bank pusat berkenaan mengisytiharkan pembayaran dividen sebanyak RM5 bilion kepada kerajaan, sekali gus menyumbang kepada hasil negara bagi menyokong agenda pembangunan.

Sebahagian besar keuntungan tersebut turut dipindahkan ke dalam Rizab Risiko, yang meningkat kepada RM155.31 bilion berbanding RM147.89 bilion pada akhir 2024 sebagai langkah memperkukuh daya tahan kewangan.

Dari sudut operasi, BNM mencatatkan perbelanjaan berjumlah RM1.86 bilion, merangkumi perbelanjaan berulang sebanyak RM1.71 bilion serta perbelanjaan pembangunan RM150 juta.

Selain itu, institusi berkenaan membayar cukai sebanyak RM42 juta bagi tahun kewangan 2025, meningkat sedikit daripada RM41 juta pada tahun sebelumnya.

Kumpulan Wang Rizab Am pula kekal stabil pada RM28.888 bilion, mencerminkan kedudukan ekuiti yang kukuh.

Sementara itu, jumlah aset BNM berjumlah RM602.22 bilion setakat 31 Disember 2025 berbanding RM621.54 bilion pada tahun sebelumnya, sebahagiannya dipengaruhi kesan penukaran mata wang susulan pengukuhan ringgit.

Beliau berkata, matlamat utamanya adalah memastikan kestabilan monetari dan kewangan yang kondusif bagi menyokong pertumbuhan ekonomi negara secara mampan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN