Bekas KPN sertai Advancecon sebagai Pengerusi - Utusan Malaysia

Bekas KPN sertai Advancecon sebagai Pengerusi

RAZARUDIN HUSAIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Advancecon Holdings Bhd. (Advancecon) melantik bekas Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Razarudin Husain @ Abd Rasid sebagai pengerusi bebas bukan eksekutif baharu berkuat kuasa serta-merta.

Beliau menggantikan Yeoh Chong Keat yang meletak jawatan selepas hampir 10 tahun berkhidmat dalam lembaga pengarah sejak Ogos 2016 bagi memberi tumpuan kepada kepentingan peribadi.

Pengarah Urusan Advancecon, Phum Boon Eng berkata, pelantikan tersebut dibuat pada fasa penting ketika kumpulan itu memperkukuh momentum pertumbuhan.

“Ia sekali gus bagi meningkatkan disiplin pelaksanaan, tadbir urus dan pengawasan strategik bagi menyokong fasa pengembangan seterusnya.

“Pelantikan ini diyakini dapat memperkukuh asas kepimpinan kumpulan dalam usaha mencapai pertumbuhan mampan dan penciptaan nilai jangka panjang,” katanya dalam kenyataan.

Razarudin Husain merupakan IGP ke-14 Malaysia dari 23 Jun 2023 sehingga persaraannya pada Jun 2025.

“Beliau berkhidmat dalam pasukan polis lebih empat dekad sejak menyertai sebagai kadet inspektor pada 1982, menurut pemfailan syarikat di Bursa Malaysia pada Isnin.

“Sepanjang kerjayanya, beliau pernah memegang beberapa jawatan kanan, termasuk Ketua Polis Perak dan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman sebelum dilantik sebagai IGP,” ujarnya.

Sebelum menyertai Advancecon, Razarudin Husain pernah berkhidmat secara singkat sebagai pengerusi bebas bukan eksekutif NexG Bina Bhd. (dahulunya dikenali sebagai Classita Holdings Bhd.) selepas dilantik pada Ogos 2025, sebelum meletak jawatan pada Oktober tahun sama atas alasan peribadi.

Beliau dilantik sebagai pengerusi NexG Bina tiga hari selepas NexG Bhd. (dahulunya Datasonic Bhd.) muncul sebagai pemegang saham terbesar dalam Classita Holdings pada 8 Ogos tahun berkenaan dengan pegangan sebanyak 32.61 peratus.

NexG merupakan pembekal MyKad dan pasport Malaysia.

Sementara itu, peletakan jawatan Razarudin Husain berlaku sebelum beberapa perkembangan kawal selia di NexG Bina, termasuk pembekuan 16 akaun bank syarikat itu oleh unit pencegahan pengubahan wang haram polis pada November 2025.

Dalam perkembangan berkaitan, Advancecon turut mengumumkan pelantikan Datuk Loo Took Gee dan Wee Chuen Lii sebagai pengarah bebas bukan eksekutif dalam pemfailan berasingan, susulan peletakan jawatan Mohd. Zaky Othman.

“Loo Took Gee mempunyai pengalaman selama 38 tahun dalam perkhidmatan awam, termasuk memegang pelbagai jawatan kanan di Jabatan Perkhidmatan Awam, Kementerian Kerja Raya serta Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air.

“Beliau pernah dilantik sebagai Ketua Setiausaha kementerian itu pada Ogos 2010 sebelum bersara pada 2016.

“Kini, beliau turut menganggotai lembaga pengarah YTL Power International Bhd. dan Hartalega Holdings Bhd.

“Sementara itu, Wee Chuen Lii pula merupakan akauntan bertauliah dan kini bertugas sebagai perunding kewangan bebas, selain turut menganggotai lembaga pengarah Vestland Bhd.,” katanya.

Harga saham Advancecon ditutup tidak berubah pada 19 sen pada Isnin dengan permodalan pasaran sebanyak RM111 juta. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN