KUALA LUMPUR: AMS Advanced Material Berhad (AMSB) melancarkan prospektus tawaran awam permulaan (IPO) yang dijangka mengumpul dana sebanyak RM32.77 juta.
Prospektus itu bersempena penyenaraian AMSB di Pasaran ACE Bursa Malaysia Securities Berhad yang dijadualkan pada 23 April 2026.
Sasaran dana itu adalah melalui terbitan awam 113 juta saham biasa baharu pada harga 29 sen sesaham, mewakili 18.46 peratus daripada modal saham terbitan diperbesarkan sebanyak 612.00 juta saham.
Pengarah Urusan AMSB, Keh Teng Yang berkata, AMSB memulakan operasinya pada 2006 dengan memberi tumpuan kepada perdagangan produk aluminium dan tembaga separa siap.
“Seiring peningkatan permintaan pasaran dan pengukuhan keupayaan syarikat, AMSB secara berperingkat membina asas kukuh yang membolehkannya berkembang daripada perniagaan perdagangan semata-mata kepada aktiviti bernilai tambah yang lebih tinggi.Perkembangan ini membolehkan kami bergerak ke rantaian nilai yang lebih tinggi serta memberikan perkhidmatan lebih baik kepada pelanggan.
“Hari ini, AMSB telah berkembang sebagai pembekal produk aluminium dan tembaga separa siap yang mantap di Malaysia, dengan menawarkan pelbagai produk merangkumi pelbagai dimensi dan gred.
“Daripada operasi perdagangan berskala kecil, kami kini menjadi rakan dipercayai kepada pemain industri merentas pelbagai sektor di rantau ini,” katanya semasa Majlis Pelancaran Prospektus AMSB di sini, semalam.
Daripada jumlah hasil tersebut, sebanyak 24.73 peratus akan diperuntukkan bagi penubuhan gudang kilang pembuatan berlesen baharu di Pulau Pinang untuk menyokong pelanggan berorientasikan eksport dalam sektor semikonduktor dan kejuruteraan.
Selain itu, 21.05 peratus akan digunakan bagi pengembangan ke dalam pembuatan produk aluminium seni bina bagi memperluas penawaran produk.
Sebanyak 7.63 peratus lagi akan diperuntukkan untuk penubuhan pusat pengedaran baharu di Kuantan, Pahang bagi meningkatkan kecekapan penghantaran serta capaian pasaran di wilayah Pantai Timur.
Seterusnya, 24.92 peratusakan digunakan untuk pembayaran balik pinjaman, manakala 8.15 peratusdiperuntukkan sebagai modal kerja bagi menyokong operasi harian.
Baki hasil IPO akan digunakan untuk menampung perbelanjaan berkaitan IPO dan penyenaraian.
Sementara itu, Pengarah Urusan (Kewangan Korporat) merangkap Pengarah Eksekutif M & A Securities, Datuk Bill Tan berkata, pihaknya berbesar hati menjadi sebahagian daripada perjalanan IPO AMSB.
“Dengan kedudukan pasaran yang kukuh, jenama yang telah mantap serta strategi berpandangan ke hadapan, kumpulan ini berada pada kedudukan baik untuk merebut peluang pertumbuhan dalam industri aluminium dan tembaga.
“IPO ini merupakan pencapaian strategik yang akan terus memperkukuh operasi serta daya saing AMSB,” ujarnya.
IPO itu turut melibatkan tawaran untuk jualan sebanyak 47 juta saham biasa sedia ada, mewakili 7.68 peratus daripada modal saham terbitan diperbesarkan Syarikat.
Saham-saham ini akan diperuntukkan melalui penempatan persendirian kepada pelabur terpilih.
Permohonan awam bagi saham IPO dibuka hari ini dan akan ditutup pada pukul 5 petang 10 April 2026.
M & A Securities Sdn. Bhd. bertindak sebagai Penasihat Utama, Penaja, Penaja Jamin dan Ejen Penempatan bagi pelaksanaan IPO ini.-UTUSAN











