Allianz Malaysia diiktiraf antara empat tempat kerja terbaik di Malaysia - Utusan Malaysia

Allianz Malaysia diiktiraf antara empat tempat kerja terbaik di Malaysia

Allianz Malaysia
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Allianz Malaysia Berhad (Allianz Malaysia) melakar pencapaian membanggakan apabila meraih pensijilan EDGE Lead, iaitu peringkat pengiktirafan tertinggi bagi kesaksamaan jantina, selain disenaraikan di tempat keempat dalam anugerah sulung Best Workplaces™ in Malaysia 2026.

Pengiktirafan oleh Great Place To Work® itu meletakkan syarikat insurans berkenaan sebagai antara organisasi contoh yang berjaya memupuk budaya kerja inklusif, saksama dan mengutamakan kesejahteraan kakitangan di negara ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Allianz Malaysia, Sean Wang berkata, kejayaan meraih pensijilan EDGE Lead dan pengiktirafan sebagai antara tempat kerja terbaik adalah bukti kepada budaya kerja positif yang memperkasakan setiap pekerja.

“Di Allianz Malaysia, warga kerja kami adalah nadi kejayaan syarikat yang dibina atas asas kepercayaan dan inklusiviti. Pengiktirafan ini sangat bermakna kerana ia dinilai oleh badan bebas global yang melihat sejauh mana pekerja dilayan dengan adil tanpa mengira peranan, umur, etnik mahupun latar belakang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Allianz Malaysia mula menerima pensijilan EDGE pada 2022 menerusi peringkat EDGE Assess, diikuti EDGE Move pada 2024, sebelum berjaya mencapai tahap tertinggi EDGE Lead pada tahun ini.

Standard global EDGE menilai organisasi melalui proses audit yang ketat, termasuk tinjauan pekerja serta audit polisi dan amalan tempat kerja yang dikemas kini setiap dua tahun.

Sementara itu, dalam ranking Best Workplaces™ in Malaysia 2026, Allianz Malaysia berjaya menduduki tangga ke-4 daripada hanya 20 organisasi yang terpilih bagi senarai pertama di Malaysia itu.

Penarafan tersebut adalah sangat kompetitif dan berasaskan maklum balas sulit pekerja melalui Trust Index© Survey yang mengukur dimensi hormat-menghormati, kredibiliti, keadilan, kebanggaan dan semangat setiakawan.

Bagi edisi 2026, Great Place To Work® telah meninjau hampir 45,000 pekerja di seluruh negara bagi mendapatkan gambaran sebenar mengenai pengalaman tenaga kerja di Malaysia.

Organisasi yang layak perlu mencapai skor minimum 65 peratus dalam tinjauan tersebut untuk diiktiraf.

Allianz Malaysia sebelum ini telah pun menerima pensijilan sebagai Great Place To Work® secara konsisten sejak 2024. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN