GUA MUSANG: Anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) ditempatkan selama 24 jam di laluan jalan sementara Lingkaran Tengah Utama (LTU) dekat Taman Wangi di sini bagi memantau pergerakan lori selepas kejadian palang had ketinggian tumbang dirempuh kenderaan berat, semalam.
Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo berkata, langkah itu diambil bagi memastikan lori atau treler tidak menggunakan laluan berkenaan yang hanya dikhaskan untuk kenderaan ringan.
Katanya, penugasan anggota Rela sebagai usaha menjaga permukaan jalan yang baharu sahaja siap dibaik pulih pada Ahad lepas.
“Tindakan jangka pendek itu dilakukan sehingga palang penghadang yang berfungsi menghalang kenderaan berat memasuki jalan sementara itu dipasang semula.
“Penugasan secara syif melibatkan anggota Rela dilaksanakan sejak malam tadi bagi memastikan pemantauan berterusan tanpa henti. Anggota Rela akan menahan dan mengarahkan lori agar berpatah balik menggunakan laluan alternatif yang lebih sesuai,” katanya.
Media semalam melaporkan gara-gara tidak memberi perhatian semasa memandu, sebuah lori merempuh palang penghadang yang dipasang bagi mengelak kemasukan kenderaan berat di laluan sementara Projek LTU dekat Taman Wangi di sini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 4 pagi itu, palang tersebut tumbang dilanggar sebuah lori membawa muatan pendingin hawa yang dipandu seorang lelaki berusia 57 tahun.
Sementara itu, Jurutera Awam Penguasa Unit Projek Khas ECER 1 Cawangan Jalan Ibu Pejabat Jabatan Kerja Raya (JKR), Hafifi Hafidz Mohd. berkata kerja-kerja pembaikian palang akan dilaksanakan selepas waktu kemuncak cuti perayaan Aidilfitri berikutan keadaan trafik semasa dan penutupan bengkel pembaikian ketika ini.
Katanya, palang jenis ‘gantry’ itu mengalami kerosakan di bahagian struktur dan memberi kesan kepada tapak asas.
“Kerja pemasangan semula palang memerlukan proses penutupan laluan, namun keadaan lalu lintas trafik semasa menyebabkan penutupan laluan tidak dapat dilakukan.
“JKR juga tidak dapat membuat pembaikan serta-merta kerana kebanyakan bengkel kerja keluli telah tutup dan memulakan cuti Aidilfitri pada hari kejadian,” katanya ketika dihubungi.
Hafifi Hafidz memberitahu, pihaknya akan kekal membina palang sama berikutan kualitinya telah memadai sebagai penghadang kenderaan berat di laluan terbabit. – UTUSAN










