AI dijangka tingkatkan pertumbuhan ekonomi negara

AI dijangka tingkatkan pertumbuhan ekonomi negara

KECERDASAN Buatan (AI) mungkin sekadar meningkatkan kecekapan di beberapa firma besar sahaja, bukan mengubah trajektori pertumbuhan negara secara menyeluruh.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KECERDASAN buatan (AI) dijangka meningkatkan kadar pertumbuhan potensi ekonomi Malaysia, terutamanya melalui sektor pembuatan, perdagangan, kewangan, logistik dan perkhidmatan digital dalam tempoh lima hingga 10 tahun akan datang.

Profesor Ekonomi di Sekolah Perniagaan dan Ekonomi, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Dr. Law Siong Hook berkata, kerangan Rancangan Malaysia ke-13 (RMK-13) menegaskan bahawa Malaysia perlu beralih daripada model pertumbuhan berasaskan pengeluaran asas kepada penciptaan nilai dan pendigitalan serta teknologi maju terutamanya AI.

Katanya, pelaksanaan AI berlaku secara meluas dalam industri pada masa depan berpotensi menjadi lebih tinggi, lebih berkualiti, dan kurang bergantung kepada pertambahan buruh semata-mata. 

“Tetapi sumbangan kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) akan menjadi ketara hanya jika AI digabungkan dengan reformasi struktur yang sudah ditekankan dalam RMK-13, Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) dan agenda pembangunan industri pertumbuhan tinggi dan bernilai tinggi (HGHV). 

“Tanpa pelengkap dasar ini, AI mungkin sekadar meningkatkan kecekapan di beberapa firma besar sahaja, bukan mengubah trajektori pertumbuhan negara secara menyeluruh,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Beliau berkata, sektor yang dijangka mendapat manfaat paling besar adalah pembuatan, khususnya elektrik dan elektronik (E&E), semikonduktor, mesin dan peralatan, kimia serta pengeluaran bersandarkan teknologi.

 Menurutnya, ini selari dengan RMK-13 yang memberi penekanan kepada industri HGHV, termasuk E&E bernilai tinggi, semikonduktor, tenaga, digital dan teknologi. 

“Malah, kajian impak generatif AI di Malaysia menunjukkan sektor pembuatan merupakan penyumbang terbesar kepada potensi keuntungan produktiviti AI iaitu sekitar 46 peratus daripada potensi keseluruhan. 

“Sektor perdagangan borong dan runcit, kewangan, pembinaan, pengangkutan, teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) dan perkhidmatan profesional juga berpotensi besar kerana banyak tugasan mereka melibatkan data, dokumentasi, ramalan, reka bentuk dan pemantaun,”: jelasnya.

Pada masa yang sama, Siong Hook berkata, sektor yang paling berisiko bukan semestinya sektor lama, tetapi sektor yang banyak bergantung kepada tugasan rutin, berulang dan mudah dikodkan. 

“Ini termasuk sebahagian kerja perkeranian, pemprosesan dokumen, khidmat pelanggan asas, operasi pentadbiran dan beberapa fungsi pengeluaran rendah kemahiran. 

“Risiko di sini ada dua iaitu kehilangan pekerjaan terus dan kedua adalah pekerjaan kekal tetapi skop tugasnya menyusut, lalu pekerja menjadi kurang produktif atau gaji mereka ditekan kerana nilai kerja rutin semakin rendah,” jelasnya.

Dalam pada itu, beliau berkata, peralihan ke arah AI dan automasi berpotensi meningkatkan daya tarikan Malaysia sebagai destinasi pelaburan asing, khususnya dalam sektor teknologi tinggi dan industri digital. 

“Penggunaan AI dan automasi dalam sektor-sektor ini bukan sahaja meningkatkan produktiviti, tetapi juga meningkatkan keyakinan pelabur antarabangsa terhadap keupayaan Malaysia untuk menjadi hab teknologi dan pembuatan bernilai tinggi di rantau ini. 

“Penggunaan AI juga boleh merangsang pelaburan domestik apabila syarikat tempatan meningkatkan pelaburan dalam teknologi digital, automasi pengeluaran dan analitik data bagi meningkatkan daya saing mereka dalam pasaran global,” jelasnya.

Tambahnya, pelabur asing biasanya mencari tiga perkara iaitu kejelasan dasar yang menyokong inovasi, infrastruktur digital dan tenaga yang kukuh serta bakat atau modal insan berkemahiran. 

“Malaysia kini menunjukkan kemajuan dalam ketiga-tiga bidang ini. National AI Office (NAIO) dibentuk untuk memacu agenda AI negara, termasuk pelan tindakan, rangka kawal selia dan peningkatan keyakinan pelabur,” ujarnya.

Beliau berkata, pelaburan yang diluluskan mencecah RM426.7 bilion pada 2025, dengan hampir RM207.1 bilion datang daripada pelaburan asing, manakala subsektor maklumat dan komunikasi mendapat lonjakan besar yang didorong oleh pelaburan dalam AI, Big Data, pusat data dan perkomputeran awam. 

“Dalam pembuatan pula, pelaburan dijangka mewujudkan lebih banyak pekerjaan berkemahiran tinggi dan meningkatkan intensiti kemahiran,” katanya.-UTUSAN

 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN