Adnex Group catat premium 25 peratus di Pasaran ACE - Utusan Malaysia

Adnex Group catat premium 25 peratus di Pasaran ACE

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Firma hiasan dalaman, Adnex Group Berhad (Adnex) bermula cemerlang dalam dagangan sulungnya di Pasaran ACE Bursa Malaysia Securites Berhad dengan harga saham melonjak 25 peratus pada pembukaan.

Saham Adnex dibuka pada harga 25 sen, mencatatkan premium sebanyak lima sen berbanding harga tawaran awam permulaan (IPO) sebanyak 20 sen sesaham.

Setakat pukul 9.05 pagi, harga saham mencecah 27.5 sen dengan lebih 27 juta unit bertukar tangan, sekali gus meletakkan nilai pasaran syarikat pada RM135 juta.

Menerusi IPO tersebut, Adnex berjaya meraih dana sebanyak RM18.1 juta daripada terbitan saham baharu. 

Sebanyak RM6.4 juta diperuntukkan bagi memperluas rangkaian pejabat ke Pulau Pinang, Johor, Sabah serta pasaran serantau, manakala RM3.9 juta untuk modal kerja dan selebihnya bagi bon prestasi, bayaran balik pinjaman serta kos penyenaraian.

Pengarah Urusannya, Adrian Kan Wai Chun berkata, syarikat optimis mampu mencatatkan pertumbuhan melebihi dua angka bagi tahun kewangan 2026, dipacu oleh buku pesanan tidak dibilkan berjumlah RM66 juta setakat Januari lalu.

“Kami juga memiliki buku tender aktif bernilai RM130 juta dengan kadar kejayaan melebihi 50 peratus berdasarkan rekod prestasi syarikat. 

“Fokus kami kini adalah untuk terus melaksanakan projek dengan baik dan memberikan nilai sebenar kepada pemegang saham,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media secara atas talian selepas majlis penyenaraian syarikat itu, hari ini.

Mengulas mengenai pelan pengembangan, Adrian berkata, syarikat akan memberi keutamaan kepada perluasan pejabat di utara dan selatan tanah air serta Malaysia Timur menjelang akhir tahun ini, selain mula meninjau peluang di Indonesia dan Filipina.

Mengenai impak ketegangan geopolitik global, beliau melihat potensi Malaysia untuk menarik pelaburan dari Asia Barat yang beralih ke Asia Tenggara.

“Peralihan pelaburan ini akan memberi manfaat besar kepada industri hiasan dalaman komersial. Kami juga mematuhi sepenuhnya piawaian buruh dan undang-undang tempatan, termasuk bagi pelanggan multinasional (MNC) dari AS dan Eropah,” tambahnya.

Pendapatan Adnex pada tahun kewangan 2025 melonjak kepada RM94 juta berbanding RM50 juta pada tahun sebelumnya, hasil daripada pelaksanaan projek berskala besar untuk pelanggan MNC dalam sektor kewangan dan korporat.

Diasaskan oleh adik-beradik Kan, Adnex menyediakan perkhidmatan hiasan dalaman yang memfokuskan kepada hartanah komersial dan industri termasuk pejabat korporat, cawangan makanan dan minuman (F&B), galeri jualan serta institusi kewangan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN