PETALING JAYA: TH Plantations Berhad (THP) mencatatkan pertumbuhan untung bersih kepada RM35.56 juta bagi suku keempat tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025, berbanding RM30.18 juta pada suku sama tahun lalu, disokong oleh jumlah jualan yang lebih tinggi serta harga direalisasi yang lebih kukuh.
Dalam makluman di Bursa Malaysia, THP berkata, hasil meningkat 2.78 peratus kepada RM302.53 juta pada suku tersebut berbanding suku yang sama tahun lepas.
Bagi keseluruhan tahun kewangan, untung bersih THP melonjak kepada RM107.49 juta berbanding RM75.17 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya, manakala hasil sebanyak RM961.3 juta daripada RM901.7 juta.
Pertumbuhan tersebut, disokong oleh purata harga direalisasi yang lebih tinggi bagi minyak sawit mentah (MSM), isirung sawit (PK) dan tandan buah segar (TBS), meskipun jumlah jualan MSM dan TBS mencatatkan sedikit penurunan.
THP dalam kenyataan berkata, lembaga pengarah menjangkakan prestasi kewangan kumpulan bagi tahun kewangan 2026 kekal berdaya tahan meskipun berdepan ketidaktentuan ekonomi global, perkembangan tenaga kerja dan ketidaktentuan harga komoditi.
“Harga minyak sawit dijangka kekal kukuh dalam tempoh terdekat, disokong oleh permintaan yang stabil serta keadaan bekalan yang lebih berdisiplin, walaupun persaingan daripada minyak sayuran lain dan perkembangan makroekonomi yang lebih luas boleh mempengaruhi dinamik pasaran.
“THP akan terus memberi keutamaan kepada program peningkatan hasil, inisiatif pengoptimuman kos, pematuhan kelestarian dan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) serta pengurusan modal yang berhemat.
“Ini bagi mengekalkan kualiti pendapatan, memperkukuh daya tahan operasi dan meningkatkan nilai jangka panjang kepada para pemegang saham,” katanya. – UTUSAN










