PETALING JAYA: Public Bank Berhad (PBBANK) mencatatkan peningkatan keuntungan bersih kepada RM7.22 bilion bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025, mencatatkan rekod tertinggi baharu berbanding RM7.15 bilion bagi tempoh sama tahun sebelum.
Kumpulan turut mengisytiharkan dividen akhir sebanyak 12 sen sesaham yang akan dibayar pada 26 Mac 2026, menjadikan jumlah dividen keseluruhan bagi tahun 2025 sebanyak 22.5 sen sesaham.
Menerusi makluman kepada Bursa Malaysia, prestasi kukuh itu didorong oleh peningkatan pendapatan faedah bersih sebanyak dua peratus hasil daripada pengembangan portfolio pinjaman dan pembiayaan, manakala pendapatan bukan faedah melonjak 15 peratus.
“Peningkatan pendapatan bukan faedah ini disumbangkan terutamanya oleh perniagaan insurans am yang baharu diambil alih, selain pendapatan fi berkaitan pelaburan dan unit amanah yang lebih tinggi.
“Nisbah kos kepada pendapatan kumpulan pula kekal pada tahap 34.9 peratus, jauh lebih cekap berbanding purata industri perbankan sebanyak 45.2 peratus,” katanya.
Bagi suku keempat berakhir 31 Disember 2025, keuntungan bersih kumpulan meningkat kepada RM1.88 bilion berbanding RM1.62 bilion pada suku yang sama tahun lalu.
Peningkatan pada suku tersebut turut dipengaruhi oleh ketiadaan caj kemerosotan nilai muhibah sekali urus berjumlah RM473.8 juta bagi operasi di Hong Kong yang direkodkan pada suku yang sama tahun sebelumnya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Public Bank, Tan Sri Tay Ah Lek berkata, di tengah-tengah persekitaran perniagaan yang dinamik, kumpulan kekal fokus kepada perniagaan teras pembiayaan dan deposit sambil memperkukuh penyelesaian pengurusan kekayaan.
“Kualiti aset kami kekal stabil dengan nisbah pinjaman terjejas kasar pada tahap 0.5 peratus, manakala kedudukan modal kekal teguh dengan nisbah modal Ekuiti Tahap 1 Biasa (CET1) sebanyak 13.89 peratus setakat akhir 2025.
“Jumlah pembayaran dividen sebanyak RM4.37 bilion bagi tahun ini mewakili 60.5 peratus daripada keuntungan bersih kumpulan, mencerminkan komitmen kami dalam memulangkan nilai kepada pemegang saham,” katanya.
Mengulas lanjut mengenai prospek, PBBANK akan terus memacu pertumbuhan pinjaman yang mampan dengan jumlah portfolio pinjaman meningkat 5.1 peratus dan deposit pelanggan naik 3.2 peratus bagi tahun yang ditinjau. – UTUSAN










