PETALING JAYA: Untung bersih Kerjaya Prospek Group Berhad naik kepada RM66.7 juta pada suku keempat tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025, berbanding RM43.5 juta yang direkodkan pada suku sama tahun sebelumnya, dipacu oleh peningkatan aktiviti kerja-kerja pembinaan.
Dalam makluman di Bursa Malaysia, syarikat melaporkan hasil yang lebih tinggi sebanyak RM672 juta pada suku sama, daripada RM598 juta pada 2024.
Bagi keseluruhan tahun kewangan, untung bersih Kerjaya Prospek melonjak kepada RM224.7 juta berbanding RM160.3 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya, manakala hasil naik kepada RM2.25 bilion daripada RM1.84 bilion.
Secara keseluruhan, peningkatan hasil bagi suku tahun semasa yang ditinjau adalah disebabkan terutamanya oleh kemajuan aktiviti kerja pembinaan yang telah meningkat.
Bagi segmen pembangunan hartanah, projek pembangunan telah menyumbang secara positif kepada keputusan kumpulan.
Selain itu, sumber pendapatan utama bagi segmen pelaburan ialah pendapatan dividen dan pendapatan faedah.
Mengulas mengenai prospek 2026, Kerjaya Prospek berkata, kumpulan akan memantau keadaan pasaran secara proaktif dan melaksanakan langkah-langkah strategik yang tepat untuk mengurangkan risiko operasi dan kewangan yang timbul daripada cabaran seperti turun naik ringgit dan kekurangan tenaga kerja mahir.
Katanya, kumpulan terus disokong oleh buku pesanan tertunggak sebanyak RM3.9 bilion untuk kontrak pembinaan setakat 31 Disember 2025.
“Melangkah ke hadapan, kumpulan akan menumpukan pada segmen pembinaannya untuk menjadi pemacu pendapatan utama bagi kumpulan.
“Percukaian tidak menghalang objektif kumpulan untuk mengembangkan perniagaan terasnya dalam pembinaan. Kumpulan berhasrat untuk mengekalkan segmen pembuatannya dan mengembangkan segmen pembangunannya untuk melengkapi perniagaan teras.
“Berkenaan dengan segmen pembangunan hartanah, dua projek pembangunan kumpulan yang dikenali sebagai The Vue @ Monterez dan Papyrus @ North Kiara akan menyumbang secara positif kepada prestasi kumpulan,” jelasnya. – UTUSAN










