Trip.com Group, GL Play Gamuda Land jalin kerjasama

Trip.com Group, GL Play Gamuda Land jalin kerjasama

LIONG Ve Lyn (dua kiri) bersama Chase Liu (dua kanan) bergambar selepas menandatangani MoU di antara GL Play dan Trip.Com di Gamuda Cove, Kuala Langat, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LANGAT: Trip.com Group menjalin kerjasama strategik dengan GL Play menerusi pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) bagi meningkatkan permintaan pelancong serta menambah baik pengalaman pengunjung ke taman-taman tema terkemuka di Malaysia.

GL Play merupakan cabang riadah dan hospitaliti Gamuda Land, syarikat pemaju hartanah terkemuka negara.

Kerjasama yang diperluas itu menggabungkan capaian global dan serantau, ekosistem perjalanan digital serta keupayaan pemasaran berpandukan data Trip.com Group dengan portfolio destinasi riadah GL Play yang memenangi pelbagai anugerah.

Pengurus Besar Pembangunan Perniagaan Daya Tarikan dan Pelancongan Antarabangsa Trip.com Group, Chase Liu berkata, peningkatan tumpuan terhadap tarikan pelancongan memainkan peranan penting dalam perancangan perjalanan, seiring pertambahan permintaan terhadap pengalaman hiburan yang mengasyikkan.

“Berdasarkan data kami, taman tema merupakan antara tarikan utama yang paling banyak ditempah oleh pelancong di seluruh dunia pada suku pertama 2026.

“Menerusi kerjasama dengan GL Play, kami teruja untuk memudahkan pelancong di seluruh Asia dan sekitarnya merancang, meneroka dan menikmati antara tarikan paling unik di Malaysia,” katanya pada Majlis Menandatangani MoU antara Trip.com Group dan GL Play.

Kerjasama tersebut turut bertujuan meningkatkan profil tarikan berkenaan dalam kalangan pelancong tempatan dan antarabangsa, khususnya di pasaran Asia, dengan tumpuan kepada destinasi utama di bawah GL Play.

Antaranya termasuk Taman Tema Air SplashMania, Paya Indah Discovery Wetlands, Discovery Park dan FunPark.

Selain itu, kedua-dua pihak akan bekerjasama rapat bagi menambah baik pengalaman pelanggan secara menyeluruh di taman-taman tema tersebut melalui sokongan berbilang bahasa serta pelbagai pilihan pembayaran.

Bagi menyokong inisiatif berkenaan, MoU itu turut membuka ruang kepada penggabungan sistem yang lebih kukuh antara Trip.com Group dan GL Play.

Usaha tersebut merupakan integrasi langsung sulung GL Play dengan agensi pelancongan dalam talian (OTA), sekali gus membolehkan penjualan tiket yang lebih lancar, penawaran produk yang lebih pelbagai serta kemudahan tempahan yang dipertingkatkan.

Pengurus Besar Kanan Riadah dan Hospitaliti Gamuda Land, Liong Ve Lyn berkata, kerjasama yang diperkukuh itu membolehkan pihaknya menawarkan pengalaman yang lebih cekap, inovatif dan diperkemas kepada pengunjung.

“Menerusi kerjasama erat dengan Trip.com Group, kami memberi tumpuan untuk menarik lebih ramai pelawat tempatan dan antarabangsa ke taman-taman tema kami, di samping memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai destinasi riadah bertaraf dunia,” katanya.

Seiring pembukaan Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM 2026) dan Tahun Melawat Selangor 2026, kerjasama ini selari dengan aspirasi negara dan negeri Selangor untuk meningkatkan ketibaan pelancong serta mengetengahkan pelbagai tawaran dan tarikan pelancongan di peringkat global.

Sebagai sebahagian daripada pakatan strategik itu, pelanggan yang membeli tiket menerusi kios layan diri Trip.com di SplashMania layak menikmati diskaun tambahan 10 peratus di kedai cenderamata SplashMania, Maniacs Closet.

Selain itu, diskaun 15 peratus turut ditawarkan di FunPark, Paya Indah Discovery Wetlands dan Discovery Park.

Promosi tempoh terhad ini berlangsung sehingga 31 Disember 2026. Maklumat lanjut boleh didapati di trip.com atau glplay.com.my. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN