Trinasolar bekal modul solar untuk Lapangan Terbang Subang

Trinasolar bekal modul solar untuk Lapangan Terbang Subang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Trinasolar membekalkan 530 unit modul Vertex N 710W bagi pemasangan sistem solar bumbung berkapasiti 376 kilowatt (kW) di fasiliti penyelenggaraan pesawat ExecuJet MRO Services Malaysia di Lapangan Terbang Subang.

Menurut kenyataan syarikat peneraju global dalam penyelesaian fotovoltaik (PV) pintar dan penyimpanan tenaga itu, pemasangan modul solar di kawasan lapangan terbang memerlukan kelulusan kawal selia serta kawalan anti-silau yang ketat bagi memastikan keselamatan operasi penerbangan.

Modul Vertex N yang dibekalkan dilengkapi salutan anti-silau khas bagi mengurangkan pantulan cahaya yang boleh mengganggu operasi penerbangan, di samping membantu memaksimumkan penyerapan cahaya matahari untuk penjanaan tenaga lebih tinggi.

Pengarah Kumpulan Asia Selatan, Asia Tenggara dan Asia Tengah Trinasolar, Elva Wang berkata, lapangan terbang merupakan antara persekitaran paling ketat dari segi keselamatan dan peraturan.

“Dengan modul Vertex N, kami menyokong kontraktor, pemaju dan pengendali untuk menyediakan sistem dengan output tinggi dalam ruang terhad sambil memenuhi keperluan teknikal dan operasi infrastruktur terkawal,” katanya.

Trinasolar sebelum ini turut melaksanakan pelbagai projek pemasangan solar bumbung di lapangan terbang di beberapa negara termasuk China, Australia dan India.

ExecuJet MRO Services Malaysia merupakan syarikat penyelenggaraan penerbangan perniagaan terbesar di negara ini dengan fasiliti di Subang meliputi keluasan 149,500 kaki persegi, termasuk 110,000 kaki persegi ruang bumbung yang dimanfaatkan untuk pemasangan solar.

Trinasolar berkata, modul Vertex N dipilih bagi memaksimumkan penjanaan tenaga dalam ruang bumbung yang terhad, menggunakan teknologi sel n-type i-TOPCon yang menawarkan output kuasa serta kecekapan lebih tinggi.

“Modul dwi-kaca Vertex N ini juga direka untuk menahan keadaan cuaca mencabar seperti haba dan kelembapan, selain rintangan terhadap garam, ammonia dan pasir, sekali gus memastikan prestasi jangka panjang dalam iklim tropika Malaysia,” ujarnya.

Tambahnya, reka bentuk voltan rendah dan kuasa rentetan tinggi modul berkenaan membantu mengurangkan kos sistem serta memudahkan pemasangan di zon lapangan terbang yang mempunyai kekangan teknikal. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN