Azam Baki tuntut RM100 juta, hantar LOD kepada Bloomberg

Azam Baki tuntut RM100 juta, hantar LOD kepada Bloomberg

AZAM BAKI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki mengeluarkan surat tuntutan (LOD) terhadap Bloomberg berhubung penerbitan artikel yang mendakwa beliau memiliki jutaan saham dalam sebuah syarikat perkhidmatan kewangan.

Firma guaman, Tetuan Zain Megat & Murad berkata, Azam turut menuntut ganti rugi sebanyak RM100 juta atas dakwaan kecederaan terhadap reputasi dan kedudukan profesional dirinya.

“Artikel itu adalah fitnah, tidak bertanggungjawab dan amat mengelirukan serta telah menyebabkan merosakkan reputasi bukan sahaja kepada Azam secara peribadi tetapi juga terhadap maruah dan integriti institusi jawatan Ketua Pesuruhjaya SPRM,” katanya.

Semakan mendapati LOD itu telah diedarkan kepada pejabat Bloomberg di Amerika Syarikat serta pejabatnya di Malaysia.

Firma berkenaan mengesahkan telah menerima arahan untuk memulakan tindakan undang-undang dan mendapatkan semua remedi perundangan yang tersedia termasuk tuntutan ganti rugi serta relif lain yang bersesuaian.

LOD itu menegaskan bahawa penerbitan berkenaan memberi gambaran bahawa Azam tidak mengisytiharkan asetnya secara terbuka dan mencadangkan wujud salah laku berkaitan pegangan saham tersebut.

LOD itu turut menuntut supaya Bloomberg segera mengeluarkan permohonan maaf bertulis yang jelas dan tanpa syarat dalam tempoh 14 hari, menarik balik serta memadam artikel tersebut daripada laman webnya, Bloomberg Terminal dan semua platform sindikasi pihak ketiga.

Bloomber juga perlu menyiarkan permohonan maaf dalam bentuk yang akan diluluskan oleh peguam beliau.

Firma itu menegaskan bahawa Azam tidak melanggar mana-mana undang-undang, peraturan atau keperluan perkhidmatan awam dan semua pengisytiharan serta rekod dokumentasi berkaitan wujud dan boleh disahkan.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN